KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM8.12 bilion bagi melaksanakan 1,571 projek.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat April 2025, sebanyak RM1.11 bilion atau 14 peratus daripada jumlah peruntukan telah dibelanjakan.
“Daripada jumlah ini, 1,514 projek dikategorikan sebagai projek fizikal, manakala 57 projek adalah bukan fizikal.
“Setakat ini juga, sebanyak 974 projek atau 61 peratus siap, manakala baki 597 projek atau 39 peratus berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Secara kumulatif, sejumlah RM16 bilion dibelanjakan sehingga April 2025 bagi pelaksanaan projek pembangunan utama di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Uggah memberitahu, beberapa Agensi Pembangunan Wilayah ditubuhkan bagi merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta mempercepat pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak.
Katanya, usaha ini dilaksanakan melalui pendekatan dari bawah ke atas (bottom-up) dalam perancangan dan pelaksanaan projek.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM13.5 bilion kepada kesemua sembilan Agensi Pembangunan Wilayah, yang mana setiap agensi menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan tahunan Sarawak untuk membiayai pelaksanaan 901 projek pembangunan yang berada di bawah lima agensi iaitu Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Rajang Tengah (MiRRDA).
“Daripada jumlah ini juga, sebanyak 894 projek adalah fizikal manakala tujuh adalah bukan fizikal,” jelasnya.
Dalam pada itu, sehingga April 2025, sebanyak 82 projek atau sembilan peratus siap, manakala 819 projek atau 91 peratus masih berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Selain itu, sebanyak RM6 bilion diperuntukkan di bawah Pembiayaan Alternatif untuk projek-projek di bawah bidang kuasa Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).
Tambahnya, sehingga kini, sebanyak RM3.19 bilion dibelanjakan dengan 601 projek siap.


