KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan tujuh lagi kes baharu positif Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Jelasnya ia menjadikan jumlah bilangan kes sebanyak 348 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.
“Semua tujuh kes tersebut dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Selain itu, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata sebanyak 155 kes baharu Individu Dalam Siasatan (PUI) dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,680 kes.
Daripada jumlah itu, katanya 2,155 kes adalah negatif dan 177 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.
Beliau berkata statistik kes PUI baharu mengikut daerah ialah Kuching (116), Serian (22), Samarahan (7), Bau (3), Miri (3), Sri Aman (2) dan Bintulu (2).



