KUALA LUMPUR: Sarawak menyambut baik peruntukan yang diberikan kepada wilayah ini dalam Belanjawan 2025 khususnya melibatkan bidang pendidikan serta pembangunan.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan membantu usaha kerajaan negeri membangunkan sektor-sektor penting.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memberikan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion khas untuk Sarawak.
“Walaupun jumlah tersebut kurang daripada yang diterima rakan kita di Sabah, namun tidak mengapa. Setidak-tidaknya kita memperoleh bantuan daripada Persekutuan dalam usaha membangunkan sektor-sektor yang penting di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Dialog Awam pada Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2022 di MITEC, di sini, hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, Sarawak dan Sabah terus menerima peruntukan pembangunan terbesar dengan masing-masing mendapat RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.
“Di samping itu, kita menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana menambah kadar pemberian khas interim yang meningkat 100 peratus, daripada RM300 kepada RM600 juta kepada wilayah ini dan Sabah bermula tahun depan.
“Kita melihat peruntukan untuk bidang pendidikan juga terdapat penambahan,” ujarnya.
Anwar dalam pembentangan tersebut memberitahu, Kerajaan Madani bercadang menaikkan kadar khas tersebut kepada RM600 juta mulai tahun 2025 sebagai menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana daif di sebanyak 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.



