KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyasarkan potensi untuk mengeksport bekalan air bersih dari Sarawak sebagai salah satu sumber ekonomi baharu.
Usaha itu katanya, merupakan sebahagian daripada strategi bagi mengelakkan Sarawak daripada terperangkap dalam perangkap pendapatan pertengahan.
“Sebenarnya, minggu lepas saya berada di Bangkok. Kini kita bercakap mengenai air.
Saya telah menyuarakan pandangan saya mengenai kepentingan air, kerana air bakal menjadi satu lagi komoditi penting.
“Ini kerana manusia semakin bergantung kepada kecerdasan buatan, atau AI.
AI bergantung kepada data, dan data disimpan di pusat data.
“Pusat data memerlukan bekalan tenaga dan air. Justeru, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,saya percaya air akan menjadi komoditi yang sangat penting dan berpotensi untuk diperdagangkan.
Jika itu keadaannya, kita mempunyai begitu banyak sungai.
“Inilah sasaran saya dan ia merupakan sebahagian daripada strategi yang akan kita laksanakan bagi ekonomi baharu, supaya kita tidak terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana,” katanya dalam Sesi Forum Persidangan Bajet Sarawak 2026 di sini, semalam.
Tegasnya, Sarawak perlu berani dan berdikari bagi membebaskan negeri ini daripada perangkap pendapatan sederhana serta muncul sebagai pemain ekonomi utama di rantau ini.
“Saya mahu Sarawak menjadi bintang bukan sahaja di Malaysia, malah menjadi bintang di peringkat ASEAN kerana kita kini menghasilkan dan berkongsi bekalan tenaga dengan negara-negara ASEAN.
“Pada pandangan saya, kita perlu berinovasi tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh bergantung kepada orang lain seratus peratus. Kita mesti berdiri atas keupayaan sendiri,” katanya.
Abang Johari berkata, tahun 2026 akan menjadi titik permulaan bagi membangunkan tenaga kerja yang sesuai untuk menyokong ekonomi baharu negeri ini, selaras dengan strateginya untuk mengelakkan perangkap pendapatan sederhana yang menjerat banyak negara membangun.
Beliau berkata, ekonomi tidak lagi boleh beroperasi mengikut pendekatan biasa kerana pendekatan sedemikian gagal mewujudkan nilai baharu dan akhirnya mengehadkan pertumbuhan jangka panjang.
“Dengan kata lain, 2026 merupakan permulaan kepada usaha kita melatih tenaga kerja yang tepat untuk ekonomi baharu kita.
“Itulah sebabnya banyak negara membangun terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana kerana mereka gagal mencipta sesuatu yang baharu,” katanya. – TVS


