KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai hab serantau bagi industri bahan termaju dan mampan dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti, tenaga boleh diperbaharui serta keupayaan penyelidikan dan inovasi yang dimiliki negeri ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, gabungan sumber semula jadi, tenaga hijau dan pembangunan teknologi meletakkan negeri ini pada kedudukan strategik untuk menyumbang kepada pembangunan bahan termaju, termasuk polimer berasaskan bio dan kimia hijau.

Menurutnya, aspirasi itu selari dengan agenda pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang meletakkan sains, teknologi dan inovasi sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan.
“Melalui penggabungan sumber asli, tenaga boleh diperbaharui, penyelidikan saintifik dan keupayaan inovasi, Sarawak berhasrat menjadi hab serantau bagi industri mampan dan pembangunan bahan termaju.
“Kemakmuran masa depan tidak lagi bergantung semata-mata kepada sumber asli, tetapi kepada ilmu pengetahuan, penyelidikan, inovasi serta keupayaan menterjemahkan penemuan saintifik kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Polimer Sedunia IUPAC Ke-51 (MACRO 2026) di sini, semalam.
Mengulas lanjut, biodiversiti Sarawak menawarkan potensi besar untuk penemuan sebatian semula jadi baharu yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan polimer berasaskan bio dan bahan mampan.
Dalam masa sama katanya, pelaburan berterusan Sarawak dalam tenaga hidro boleh diperbaharui dan pembangunan ekonomi hidrogen menyediakan persekitaran kondusif kepada pertumbuhan industri pembuatan termaju, kimia hijau serta penghasilan bahan yang lebih mesra alam.
“Justeru, penganjuran MACRO 2026 ini membuktikan keyakinan komuniti saintifik antarabangsa terhadap kemampuan Sarawak dan Malaysia menjadi destinasi utama penyelidikan, inovasi serta kerjasama saintifik di peringkat global.
“Penganjuran kongres saintifik antarabangsa ini mencerminkan komitmen kita untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan, membangunkan bakat saintifik dan memperluaskan kerjasama global yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” jelasnya.
Di samping itu katanya, tema kongres Polimer Baharu dan Bahan Inovatif untuk Masa Depan yang Mampan, amat bertepatan dengan keperluan dunia ketika ini dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran perubahan iklim, kecekapan sumber, pembuatan mampan, penjagaan kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi kitaran.
“Sains polimer telah membawa perubahan besar dalam bidang perubatan menerusi pembangunan peranti perubatan moden, implan boleh terurai secara biologi, sistem penghantaran ubat, kejuruteraan tisu serta teknologi diagnostik.
“Setiap penemuan hasil penyelidikan mempunyai potensi untuk meningkatkan kualiti rawatan pesakit dan memberikan harapan kepada generasi masa depan.
“Sebab itu kerjasama saintifik dan platform seperti MACRO 2026 amat penting bagi mempercepat pertukaran ilmu, inovasi dan pembangunan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat sejagat,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa penyelidik muda memanfaatkan kongres berkenaan bagi membina rangkaian kerjasama antarabangsa, sekali gus melahirkan lebih banyak inovasi yang mampu menyelesaikan cabaran global pada masa hadapan.



