KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat melahirkan modal insan dan jurutera tempatan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pembangunan negeri, malah berdaya saing serta mampu menyumbang di peringkat antarabangsa.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata wawasan itu direalisasikan menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) di universiti milik negeri bagi memastikan anak Sarawak mendapat akses pendidikan berkualiti.
“Visi saya bukan sekadar mahu anak Sarawak berpendidikan di sini dan berkhidmat di sini sahaja, sebaliknya saya mahu mereka melihat dunia, menimba pengalaman antarabangsa, berkhidmat bersama-sama pakar terbaik dan menyumbang di mana-mana jua peluang berada.
“Saya mahu mereka membawa nama Sarawak dengan penuh bangga sebagai individu yang berkebolehan, dipercayai dan mampu menyumbang pada peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Mengulas peranan FEIAP, Abang Johari menjelaskan platform berkenaan amat penting dalam menghubungkan jurutera muda tempatan dengan institusi profesional serta penggiat industri rentas rantau Asia dan Pasifik bagi membina keyakinan diri.
Menurutnya, pembangunan modal insan merupakan pelaburan paling utama untuk jangka panjang kerana kebergantungan kepada kepakaran luar secara berterusan akan merencatkan keupayaan berdikari negeri dalam menguruskan teknologinya sendiri.
Justeru, beliau menjelaskan pendedahan antarabangsa menerusi rangkaian FEIAP dijangka membolehkan jurutera tempatan menambah baik teknologi sedia ada dan seterusnya mencipta inovasi baharu yang disesuaikan mengikut tuntutan ekonomi masa depan.



