KUCHING: Sarawak perlu mengekalkan purata kehadiran 200,000 pelawat setiap bulan bagi mencapai sasaran lima juta pelawat tahun ini.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Desmond Douglas Jerukan, berkata berdasarkan data yang dikongsikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak mencatatkan purata 200,000 pelawat pada Januari dan Februari lalu. Oleh itu, beliau yakin sasaran lima juta pelawat dapat dicapai.
Menurutnya, penganjuran pelbagai acara di Sarawak menjadi faktor utama dalam menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini, sekali gus membantu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Pada Januari, kita telah mencapai 220,000 pelawat. Bulan Februari pula kita mencatat lebih kurang 210,000 pelawat.
“Jadi, kita berada pada landasan yang betul. Namun, sekiranya terdapat penurunan pada bulan Mac, kita perlu mempergiatkan penganjuran perayaan dan aktiviti seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia dan Borneo Sonic, yang menarik ramai pelancong dari Kalimantan, Indonesia kerana kehadiran artis-artis dari negara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Keraian Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Tourism Malaysia di ruang legar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa majlis keraian yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia selari dengan matlamat Sarawak untuk mencapai sasaran lima juta pelawat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Kevin Jantan Robert Bidi, berkata program sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan dan kesinambungan daripada sambutan Tahun Baharu Cina sebelum ini.
“Program ini berlangsung serentak di lima lapangan terbang di seluruh Malaysia, antaranya KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Georgetown, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya.
Beliau menambah bahawa program ini turut dijalankan bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan akan diteruskan bagi perayaan lain seperti Hari Gawai, Deepavali, dan Krismas.


