SINGAPURA: Komitmen memperkasa kerjasama dalam memajukan peralihan tenaga serta pembangunan ekonomi mampan menjadi fokus utama pertemuan antara wakil TotalEnergies dan Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini hari ini.
Menurut MINTRED dalam kenyataan, perbincangan itu menekankan komitmen bersama untuk memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak yang kaya serta kepakaran global TotalEnergies.
Kenyataan itu menjelaskan mesyuarat tersebut merangkumi pelbagai topik berkaitan tenaga, sejajar dengan visi bersama ke arah masa depan yang mampan.

Katanya, antara bidang utama yang dibincangkan ialah kedua-dua pihak menekankan kepentingan tenaga boleh diperbaharui, dengan Sarawak menggariskan matlamat bercita-cita tinggi untuk memperluas kapasiti tenaga hijau merangkumi hidro, solar dan biomas.
“TotalEnergies menyatakan minat yang tinggi untuk menyokong inisiatif ini, khususnya dalam projek solar darat dan solar terapung, serta berkongsi portfolio luas pembangunan tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada kerjasama sedia ada dan peluang masa depan dalam sektor minyak dan gas, dengan mengambil kira rizab gas Sarawak yang besar serta pelan strategik bagi penggunaan domestik dan eksport gas.
“TotalEnergies menegaskan komitmennya terhadap aktiviti huluan di rantau ini serta peranannya dalam membangunkan sumber hidrokarbon Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, MINTRED menyatakan pertemuan itu turut merangkumi bidang baharu seperti bahan api penerbangan mampan (SAF) serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Sarawak membentangkan visinya untuk membangunkan industri baharu ini, manakala TotalEnergies berkongsi strategi global serta potensi penglibatan masa depan dalam usaha penyahkarbonan,” katanya.
MINTRED menambah, satu lagi perkara penting ialah usaha sama yang baharu diumumkan oleh TotalEnergies dengan Masdar, yang bertujuan mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Asia Pasifik, dengan Malaysia dikenal pasti sebagai pasaran keutamaan.
Justeru, katanya, kerjasama itu dijangka meningkatkan pelaburan dan kepakaran dalam landskap tenaga hijau Sarawak.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II kini berada di Singapura bagi menghadiri ekspo Food and Hospitality Asia 2026, yang menyaksikan penyertaan 19 syarikat dari Sarawak.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat PKS MINTRED Dato Seri Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong.


