BANGKOK: Sarawak mahu penganjuran Sukan SEA 2027 mencapai standard antarabangsa dan selari konsep kelestarian sambil memupuk budaya mesra alam.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) berkata, pendekatan Thailand yang menerapkan konsep Sukan Hijau dalam penganjuran Sukan SEA Ke-33 boleh dijadikan panduan untuk pelaksanaan di Sarawak.
“Ini adalah perkembangan baik dan mesti dijadikan budaya dalam semua acara penganjuran bukan setakat di Sarawak sahaja malah seluruh ASEAN.
“Konsep ini memberi inspirasi kepada Sarawak untuk memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 mengikut standard kelestarian antarabangsa,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran di pusat bandar, di sini, hari ini untuk satu lawatan ke fasiliti Sukan SEA 2025 di Bangkok bagi tujuan persiapan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
Selain konsep sukan hijau, Karim memberitahu bahawa lawatan ini juga akan dijadikan panduan termasuk pengurusan media, makanan, penginapan dan logistik sukan.
“Hasil tinjauan di sini juga boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti pengurusan acara tempatan yang lain seperti regatta, festival makanan dan budaya,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakorn berkata, konsep penganjuran memberi keutamaan besar kepada prinsip mesra alam.
“Kita mungkin tidak dapat mencapai sepenuhnya tetapi standard baharu penganjuran hijau tetap dapat diwujudkan dan usaha itu selaras dengan dasar kerajaan mempromosi acara sukan berimpak rendah terhadap alam sekitar.
“Penganjuran hijau ini boleh menjadi penanda aras untuk acara sukan atau pelancongan negara pada masa depan,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Datuk Dr Ripin Lamat dan Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Frederick.


