KUCHING: Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS akan memperbanyak program ekonomi hijau bagi melahirkan lebih banyak tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sangat aktif dalam pembangunan teknologi hijau dan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui sekali gus menjadi peneraju pembangunan ekosistem dan penjana hidrogen hijau di Malaysia.
Beliau berkata, bagi menangani jurang dalam ekosistem ekonomi, Sarawak perlu mengubah struktur ekonomi, memoden dan meningkatkan efisiensi, meningkatkan pendapatan isi rumah dan pada masa yang sama melindungi alam sekitar.
“Sarawak akan membangun dengan cara lebih lestari berpandukan teknologi ekonomi hijau dan kita melaksanakan dasar ke arah pemeliharaan alam sekitar dengan beralih kepada tenaga hijau yang sifar karbon.
“Oleh itu, Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS akan memperbanyakkan programprogram ekonomi hijau untuk memastikan ramai tenaga kerja mahir di dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-Cats ke-26 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
Jelas Abang Johari, menjadi harapan Kerajaan Sarawak untuk melahirkan seramai mungkin bakat-bakat anak tempatan dalam memangkin industri-industri seperti yang tercatat dalam Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 (PCDS) 2030.
Katanya, ini berlandaskan ekonomi digital dan keprihatinan dalam menangani permasalahan perubahan iklim..
Dalam pada itu, beliau mendedahkan, Kolej Universiti i-CATS akan memberi tumpuan kepada subjek seperti astronomi, fizik, kimia dan algoritma, laitu subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) susulan Kerajaan Sarawak bakal membangunkan industri angkasa lepas.
Katanya, ini selepas kerajaan persekutuan telah mengenal pasti Sarawak sebagai tapak pelancaran satelit dan keputusan ini dicapai pada Mesyuarat Pembangunan Fizikal Malaysia yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya.
“Industri angkasa lepas atau dikenali juga industri satelit, memerlukan perkhidmatan sokongan.
Oleh itu, Kumpulan Institusi Pengajian Sarawak Skills melalui i-CATS University College telah menubuhkan Fakulti Aeroangkasa.
“Saya amat berbesar hati dengan penubuhan Fakulti Aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS yang merupakan fakulti dan program yang pertama di Sarawak.
“Oleh itu, anak-anak Sarawak harus mengambil peluang ini untuk mempelajari ilmu angkasa lepas khususnya teknologi angkasa,” ujarnya.
Tambah Abang Johari, Sarawak juga telah menubuhkan akademi semikonduktor untuk melatih rakyat Sarawak dalam reka bentuk cip bagi menyokong angkasa lepas serta industri aeroangkasa, kerana semuanya melibatkan kejuruteraan avionik.
“Cip ini bukan sahaja untuk kegunaan analog tetapi juga cip untuk menyimpan data.
Akademi semikonduktor akan berguna kerana komponen yang sangat penting dalam industri satelit ialah komunikasi aeroangkasa yang memerlukan cip,” ujarnya.



