KUCHING: Kem olahraga Sarawak sekadar memungut satu pingat perak dan satu gangsa menerusi 14 acara yang dipertandingkan pada hari keempat acara sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2024 itu yang berlangsung di Stadium Sarawak, hari ini.
Pingat perak disumbangkan oleh Voon Pei Ling menerusi acara lontar peluru wanita, yang dimenangi Farhana Izurein Faizal Amizul dari Perlis dan Nurul Aqma Mohd Nizam dari Kedah merangkul gangsa.
Manakala pingat gangsa oleh atlet baling tukul besi wanita, Ailenna Thipong Laga selepas tewas kepada Nurul Aiyani Mohamed Kamaluddin dari Pahang yang memenangi emas dan Nur Salsabila Mohd Zamsairon dari Perlis yang memperoleh pingat perak.
Esok, sukan olahraga akan mempertandingkan tujuh acara iaitu 20,000M lumba jalan kaki lelaki, lompat jauh lelaki, baling tukul besi lelaki, 800M wanita, 800M lelaki, 4 x 100M wanita dan 4 x 100M lelaki.
Namun daripada kesemua acara itu, hanya enam acara yang akan ditandingi melibatkan atlet Sarawak iaitu lompat jauh lelaki, baling tukul besi lelaki, 800M wanita, 800M lelaki, 4 x 100M wanita dan 4 x 100M lelaki.
Setakat ini, Johor mendominasi kutipan pingat bagi acara olahraga dengan tujuh emas, empat perak dan empat gangsa diikuti Selangor (enam emas, lima perak, empat gangsa).
Selain itu, Wilayah Persekutuan turut mengutip enam emas, empat perak dan dua gangsa manakala Sarawak mendapat empat emas, tiga perak dan tujuh gangsa.
tamat



