KOTA KINABALU: Sarawak bersedia menambah kapasiti bekalan elektrik ke Sabah sehingga 80 megawatt (MW), tertakluk kepada keupayaan sistem grid di negeri berkenaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata pada peringkat awal, Sarawak telah bersetuju untuk membekalkan sebanyak 30 MW elektrik kepada Sabah, dan jumlah tersebut boleh ditingkatkan mengikut keperluan semasa.

“Pada mulanya, kita bersetuju untuk membekalkan 30 MW kepada Sabah, tertakluk kepada siapnya grid di bahagian utara Sarawak.
“Apabila grid itu siap, kita boleh bekalkan 30 MW atau dinaikkan kepada 50 MW.
Jika diperlukan lebih banyak, kita boleh pertimbangkan untuk tingkatkan kepada 80 MW – bergantung kepada kemampuan grid di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah-Tamah Mesra Aidilfitri ECos 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Julaihi turut memaklumkan bahawa projek pembinaan Grid Utara Sarawak kini hampir siap sepenuhnya.
“Berdasarkan perkembangan semasa, projek ini berada di peringkat akhir dan kita menyasarkan ia siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini,” jelasnya.



