SARIKEI: Kerajaan Sarawak sedang meneliti keperluan menambah 10 mesin dialisis di Hospital Sarikei susulan peningkatan tanda-tanda penyakit diabetes dalam kalangan penduduk di bahagian itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata maklum balas yang diterimanya daripada pegawai perubatan menunjukkan tahap kesihatan penduduk tempatan secara keseluruhannya berada pada tahap baik, namun terdapat petunjuk awal peningkatan kes diabetes yang perlu diberi perhatian serius.
“Saya menerima maklum balas daripada doktor di Sarikei.
“Secara puratanya, rakyat Sarikei sihat-sihat belaka.
“Tetapi ada satu perkara yang perlu diberi perhatian, iaitu terdapat tanda-tanda peningkatan kes kencing manis.
“Maknanya, kita perlu bersedia dari sekarang termasuk menyediakan kemudahan rawatan seperti mesin dialisis,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei, di sini, hari ini.
Menurutnya, penambahan 10 mesin dialisis di Hospital Sarikei wajar dipertimbangkan supaya pesakit tidak perlu mendapatkan rawatan di luar kawasan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan lebih awal dengan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes.
Katanya, penjagaan pemakanan dan aktiviti fizikal secara konsisten merupakan antara faktor penting dalam memastikan kesihatan rakyat terus terpelihara.
“Jaga makanan kita.
“Kalau dapat bersenam, bersenamlah.
“Kemudahan untuk beriadah dan bersukan sudah ada, gunakanlah sebaiknya.
“Kita mahu rakyat hidup sihat.
“Umur panjang sahaja tidak mencukupi jika kesihatan tidak terjaga.
“Yang penting ialah kita sihat dan terus dapat menyumbang kepada keluarga serta masyarakat,” ujarnya.
Terdahulu, beliau turut berkongsi pemerhatian berdasarkan laporan kesihatan di beberapa bahagian lain di Sarawak yang menunjukkan cabaran kesihatan berbeza mengikut kawasan, termasuk masalah kolesterol tinggi dan obesiti, sekali gus menekankan kepentingan saringan kesihatan serta amalan hidup sihat dalam kalangan rakyat.



