ARTIKEL

Sarawak teraju inovasi rawatan kanser

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUSAT Perubatan Borneo (BMC) kini melangkah setapak ke hadapan dalam bidang rawatan kanser apabila memperkenalkan dua teknologi diagnostik dan terapi bertaraf dunia di Borneo, iaitu Sistem Radioterapi Halcyon dan perkhidmatan imbasan Antigen Membran Khusus Prostat Gallium-68 (PSMA) imbasan PET/CT.

Langkah itu menjadikan BMC, hospital swasta pertama di rantau ini yang menawarkan kemudahan berteknologi tinggi tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan bernilai RM20 juta oleh BMC itu mencerminkan komitmen berterusan Sarawak memperkukuh kualiti dan akses kepada perkhidmatan kesihatan moden.

Beliau memuji inisiatif kumpulan perubatan tempatan itu yang disifatkan sebagai satu lonjakan penting dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai hab rawatan serantau.

“Sistem Radioterapi Halcyon merupakan antara teknologi rawatan kanser paling maju ketika ini.

“Ia membolehkan rawatan dijalankan dengan lebih pantas, lebih tepat dan lebih selesa, sambil mengurangkan pendedahan radiasi kepada tisu sihat serta meningkatkan keberkesanan rawatan terhadap sel kanser,” katanya.

Beliau menambah, ini bermakna pesakit dapat menamatkan rawatan dalam tempoh yang lebih singkat serta dengan ketidakselesaan yang berkurangan dengan ketara.

Menurut beliau lagi, pengenalan perkhidmatan PSMA dengan imbasan PET/CT pula membolehkan pengimejan yang amat tepat, khususnya bagi pengesanan awal kanser prostat.

“Teknologi ini membantu meningkatkan keberhasilan rawatan serta kadar kelangsungan hidup pesakit melalui diagnosis yang lebih awal dan tepat,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pada majlis pelancaran dua teknologi diagnostik tersebut di BMC, baru-baru ini.

Abang Johari menegaskan bahawa penerapan teknologi dan inovasi dalam sektor kesihatan bukan sahaja memperkukuh keberkesanan rawatan perubatan, malah mengangkat kedudukan Sarawak sebagai pusat kecemerlangan penjagaan kesihatan di rantau ini.

Beliau yakin, dengan penambahan dua kemudahan berteknologi tinggi itu, Sarawak akan terus menjadi destinasi pilihan bagi pesakit dalam dan luar negara yang mencari rawatan berkualiti, mampu milik dan berasaskan nilai belas ihsan.

“Sarawak kini berada pada landasan yang tepat untuk muncul sebagai destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini.

“Gabungan kemudahan moden, tenaga profesional perubatan yang berkemahiran serta daya tarikan semula jadi negeri ini mampu mewujudkan suasana penyembuhan yang menyeluruh bagi pesakit dari seluruh Borneo dan negara jiran,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi BMC, Dr. John Chew Chee Ming berkata, falsafah pusat perubatan itu berbeza kerana pihaknya tidak mengejar kemewahan, sebaliknya menumpukan kepada keperluan sebenar masyarakat tempatan.

“Kami tidak menyasarkan rawatan kos rendah atau bertaraf lima bintang, tetapi rawatan yang memenuhi keperluan rakyat. Kesihatan bukan soal kemahuan, ia adalah satu keperluan asas.

“Jika seseorang sakit dan tidak mampu menanggung rawatan, dia tidak akan mendapatnya.

Oleh sebab itu, kami mahu membawa perkhidmatan ini terus kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Dr. John, pengenalan dua teknologi baharu itu menandakan era baharu dalam diagnosis dan rawatan kanser yang lebih tepat, pantas dan selesa untuk pesakit.

“Imbasan PET/CT Antigen Membran Khusus Prostat Gallium-68 (PSMA) membantu mengesan kanser dengan lebih awal dan tepat, manakala Sistem Radioterapi Halcyon memberikan rawatan yang disasarkan dengan ketepatan tinggi serta keselamatan maksimum.

“Gabungan kedua-duanya meningkatkan hasil rawatan dan kualiti hidup pesakit,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak serta Kerajaan Sarawak atas sokongan terhadap usaha memperkukuh sektor kesihatan di Borneo.

“Dengan sokongan ini, kami yakin rakyat Sarawak kini mempunyai akses kepada rawatan kanser bertaraf dunia tanpa perlu ke Kuala Lumpur atau ke luar negara.

“Bersama-sama kita membentuk Sarawak yang lebih sihat dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU