SINGAPURA: Kerajaan Sarawak bakal menjalin kerjasama strategik dengan Singapura bagi meneroka teknologi baharu yang mampu memproses air laut sebagai platform perdagangan karbon.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak telah diminta bekerjasama dengan syarikat dari Singapura untuk meneroka potensi teknologi berkenaan.
“Ini merupakan teknologi baharu dan saya telah meminta kementerian tenaga kita bekerjasama dengan mereka.
“Sekiranya berjaya direalisasikan, ia akan menjadi yang pertama seumpamanya di dunia, apabila air laut diproses dan dijadikan platform bagi perdagangan karbon. Ini adalah bentuk kerjasama kita dengan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Filantropi Asia 2026 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Marina Bay, di sini, hari ini.
Menurut beliau, negara luar kini mula memberi perhatian terhadap kejayaan Sarawak mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.
Katanya, dasar hijau serta penerapan teknologi baharu yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak telah meningkatkan imej negeri itu di peringkat antarabangsa.
“Strategi agresif yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak dalam mengawal pelepasan karbon kini mendapat pengiktirafan negara luar.
“Dunia hari ini melihat Sarawak sebagai contoh. Jika tidak, mereka tidak akan menjemput kita untuk berkongsi pembangunan yang telah dilaksanakan, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan peranan teknologi baharu dalam mengubah landskap ekonomi selari dengan pembangunan global,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili; serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal.



