ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakam gambar bersama peserta Persidangan Tanah dan Survei (LANDAS Summit) 2026 yang diadakan di Hotel Imperial Bintulu.

Sarawak teroka teknologi CubeSat sokong ukur tanah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam penerokaan teknologi angkasa apabila penggunaan teknologi CubeSat dikenal pasti sebagai antara pendekatan strategik bagi menyokong kerja-kerja ukur tanah dan perancangan pembangunan mampan di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata satelit bersaiz kecil termasuk nano-satelit dan CubeSat yang ditempatkan di orbit bumi rendah berupaya menyediakan data penting bagi tujuan pemetaan tanah, perancangan guna tanah serta pembangunan ekonomi jangka panjang.

“Teknologi ini membolehkan kerja ukur tanah dilaksanakan dari ruang angkasa dengan data disimpan di orbit bumi rendah sebelum digunakan dalam perancangan pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tanah dan Survei (LANDAS Summit) 2026 di Hotel Imperial di sini, Isnin.

Menurut beliau, kos pembangunan satelit konvensional yang boleh mencecah antara 300 juta hingga 500 juta euro menjadikan teknologi tersebut kurang praktikal berbanding nano-satelit dan CubeSat yang hanya melibatkan kos sekitar 500,000 hingga 700,000 euro.

“Dengan kos yang jauh lebih rendah, Sarawak berpotensi membangunkan nano-satelit sendiri dan melancarkannya ke orbit bumi rendah,” katanya.

Beliau sebelum ini pada pelancaran Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 bulan lalu dilaporkan berkata Sarawak sedang menilai secara strategik keseluruhan spektrum teknologi angkasa termasuk penggunaan praktikal sistem satelit kecil seperti CubeSat selaras dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab teknologi dan inovasi di rantau ini.

CubeSat menawarkan kelebihan ketara dari segi kos dan tempoh pembangunan, iaitu kurang daripada setahun berbanding satelit konvensional yang boleh mengambil masa sehingga 15 tahun.

Pada masa sama, Abang Johari berkata dasar pembangunan Sarawak menuju 2030 dan seterusnya memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar serta usaha menangani perubahan iklim.

Menurut beliau, setiap aktiviti ekonomi perlu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar, khususnya pelepasan karbon, kerana isu tanah kini semakin berkait rapat dengan cabaran pencemaran dan kemerosotan alam sekitar.

“Hari ini, isu tanah tidak boleh dipisahkan daripada isu alam sekitar. Banyak negara, termasuk negara jiran kita, berdepan masalah pencemaran yang serius,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Sarawak telah melaksanakan agenda ekonomi digital sejak awal bagi memastikan proses pentadbiran dan ekonomi berjalan lebih cekap, sekali gus mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Apabila proses menjadi lebih lancar dan cekap, kesannya terhadap alam sekitar juga dapat dikurangkan,” katanya.

Abang Johari turut menegaskan komitmen Sarawak dalam membangunkan sumber tenaga alternatif sebagai pemacu ekonomi baharu, khususnya hidrogen, yang kini menjadi keutamaan dalam sistem pengangkutan awam negeri.

“Walaupun pada peringkat awal terdapat kritikan, kerajaan Sarawak terus meneroka teknologi hidrogen. Kini, kos elektrolisis semakin menurun dan hasilnya mula dapat dilihat,” katanya.

Beliau yakin hidrogen, seiring dengan sumber tenaga boleh diperbaharui lain seperti hidro, biomas dan solar, akan memainkan peranan penting dalam menjamin pertumbuhan ekonomi Sarawak yang mampan.

“Kita tidak tersasar dalam dasar ini. Sarawak kini menghasilkan hidrogen di samping memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui lain,” ujarnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha