OLEH AISYAH ARDILA
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneroka pembangunan Taman Industri Aeroangkasa bagi tujuan pembuatan bernilai tinggi dalam bidang aeroangkasa, penyelenggaraan pesawat, baik pulih serta penyelidikan bahan api penerbangan lestari.
Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha itu melibatkan kerjasama dengan Airbus untuk mengembangkan industri aeroangkasa, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menarik pelaburan asing.
“Sarawak kini sedang membentuk sebuah ekosistem yang dinamik dan berdaya tahan sebagai hab aeroangkasa yang berdaya saing di rantau ASEAN,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurut beliau, industri aeroangkasa global dijangka terus berkembang pada tahun 2025, dipacu oleh kemajuan teknologi, inisiatif kelestarian dan peningkatan permintaan pengangkutan udara.
“Seiring dengan evolusi industri ini, Sarawak sedang giat membangunkan keupayaan dalam bidang aeroangkasa dengan memberi tumpuan kepada penerbangan, teknologi angkasa dan potensi pelancaran satelit,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak yang baharu ditubuhkan akan menerajui pembangunan industri aeroangkasa melalui peningkatan pendidikan, latihan tenaga kerja dan pemerkasaan kerjasama global untuk merangsang pelaburan masa depan serta mempercepat pertumbuhan industri.
Tambah beliau, dengan penekanan yang kukuh terhadap pembangunan bakat, kerajaan melancarkan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu serta Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS.
Katanya lagi, langkah ini bertujuan bagi melahirkan tenaga profesional masa depan yang berkemahiran praktikal dan memiliki kelayakan bertaraf antarabangsa.



