TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Seperti yang diketahui, kontinjen Sarawak menamatkan saingan selama 10 hari pada temasya dwitahunan itu di tempat keempat.
Kontinjen Sarawak mengumpul 143 pingat keseluruhan, merangkumi 41 emas, 40 perak dan 62 gangsa.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, tetap berbangga dengan pencapaian kontinjen Sarawak pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Malah, beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh atlet Bumi Kenyalang.
“Kita tetap berbangga dengan pencapaian kontinjen Sarawak pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026 meskipun menduduki tempat keempat.
“Kita tahu semua atlet memberikan yang terbaik sepanjang saingan temasya kali ini,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau teruja melihat beberapa acara sukan air mencipta kejutan sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pencapaian atlet Sarawak.
Beliau berkata, prestasi cemerlang yang dipamerkan menerusi acara akuatik membuktikan sukan berkenaan menjadi antara penyumbang utama pingat emas kepada kontinjen Sarawak pada temasya kali ini.

“Pencapaian yang diraih dalam acara akuatik termasuk polo air dan terjun membuktikan prestasi atlet Sarawak kini berada pada tahap yang amat membanggakan.
“Saya berasa sangat bangga melihat beberapa acara sukan yang sebelum ini kita tidak jangka mampu meraih pingat tetapi berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dan mencapai sasaran, seperti polo air yang menyumbang dua pingat emas,” menurut beliau.
Dalam acara terjun, daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan, Sarawak berjaya meraih lapan daripadanya dan pencapaian itu amat membanggakan.
Sementara itu, proses penilaian semula akan dilakukan terhadap prestasi kontinjen Sarawak.
Pendekatan tersebut merupakan amalan lazim setiap kali berakhirnya kejohanan dwitahunan negara, termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, bagi mengenal pasti kelemahan dalam pelbagai aspek.
“Kita akan mengadakan penilaian semula selepas ini bagi mengenal pasti kelemahan dalam pelbagai aspek.
“Yang pasti, pihak kita juga perlu menunggu laporan daripada semua persatuan sukan yang terlibat,” ujar beliau.

Tegas beliau, langkah tersebut penting sebagai penanda aras awal bagi pihaknya merangka pelan persediaan untuk membentuk kontinjen yang benar-benar mantap bagi menghadapi SUKMA 2028 yang akan berlangsung di Kelantan.
Selepas 10 hari berlangsung, kejohanan itu menyaksikan atlet muda dari seluruh negara berentap membawa cabaran kontinjen masing-masing dalam 37 jenis sukan.
Tuan rumah, Selangor, dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mendominasi pungutan pingat dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 245 pingat.
Wilayah Persekutuan muncul sebagai naib juara dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 157 pingat, manakala Terengganu menduduki tempat ketiga dengan pungutan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa, berjumlah 123 pingat.



