KUCHING: Keputusan menutup sekolah sebaik sahaja bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras 200 membuktikan Kerajaan Sarawak tidak mengambil ringan ancaman jerebu terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan sentiasa mengambil tindakan berdasarkan keadaan semasa dan tidak akan berkompromi dalam perkara berkaitan kesejahteraan rakyat.
Tindakan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa pihak berkuasa cuba memperkecilkan keadaan pencemaran udara ketika ini.
“Kita tidak pernah mempermainkan soal kehidupan rakyat Sarawak. Sebab itu, semalam sekolah ditutup sebaik sahaja bacaan IPU mencecah 200,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026 (BAGFest 2026) di sini, hari ini.
Uggah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bacaan IPU daripada sumber tidak diketahui, sebaliknya merujuk maklumat rasmi yang dikeluarkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurutnya, bacaan IPU berubah mengikut masa dan keadaan cuaca, justeru orang ramai perlu mendapatkan maklumat daripada sumber sah sebelum mengambil sebarang tindakan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika jerebu, termasuk memakai pelitup muka dan mengelakkan aktiviti fizikal berlebihan di luar.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata, musim kering dan kemarau turut memberi tekanan terhadap bekalan air di beberapa kawasan di Sarawak.
Katanya, kerajaan negeri melalui Sarawak Water dan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak sedang memastikan aduan berkaitan gangguan bekalan air ditangani dalam tempoh 24 jam.
“Sekiranya rakyat memaklumkan bekalan air tiada, dalam tempoh 24 jam kita menjangkakan perkara itu akan ditangani. Itu ialah petunjuk prestasi utama (KPI) kita bagi penyampaian bantuan,” katanya.



