Sarawak tidak setuju penerbangan dibatalkan

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak tidak bersetuju dengan keputusan syarikat penerbangan MAS, Air Asia dan MALINDO untuk membatalkan penerbangan ke negeri ini bermula dari 15 hingga 30 April ini.

Justeru, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata JPBN Sarawak telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia mengenai isu tersebut.

“Jawatankuasa merasakan bahawa penerbangan dari Semenanjung ke Sarawak dan sebaliknya adalah perlu untuk memenuhi keperluan perjalanan yang penting,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Menurut Karim yang juga timbalan pengerusi JPBN Sarawak, pembatalan penerbangan masuk ke Sarawak selama dua minggu itu akan menjejaskan bukan sahaja rakyat Sarawak sendiri untuk balik, tetapi juga keperluan lain yang perlu masuk ke negeri ini.

“Ini kerana selain manusia yang menggunakan kapal terbang, banyak juga keperluan lain yang perlu masuk seperti penutup hidung dan mulut yang amat diperluan untuk mengekang Covid-19.

“Ia termasuklah makanan dan ini (pembatalan penerbangan ke Sarawak) akan menyebabkan kekurangan bekalan yang mendadak serta boleh menyebabkan harga barang meningkat,” katanya.

Sementara itu, Karim berkata JPBN Sarawak hari ini memutuskan bahawa pembukaan kedai gunting rambut adalah tidak dibenarkan.

“Ini keputusan baik kerana ramai orang telah menyuarakan pandangan tidak mahu kedai gunting rambut dibuka,” katanya.

Manakala bagi sektor lain, beliau berkata JPBN Sarawak masih dalam perbincangan mengenai apakah sektor-sektor yang dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh PKP Tahap 3 berdasarkan kesesuaian dengan Sarawak.

Dalam pada itu, Karim menegaskan adalah penting untuk melaporkan diri di pusat saringan yang terdekat, bagi meningkatkan proses pengesanan kontak rapat orang yang pernah berhubung rapat dengan pesakit positif Covid-19.

Katanya sehingga kini, ramai yang telah mempunyai kontak rapat atau kasual kontak yang belum melapor diri setelah dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui panggilan telefon.

“Kita merayu agar orang ramai dapat melapor diri dengan kadar segera dan dengan cara ini kita harap dapat memutuskan rantaian Covid-19 daripada terus
merebak,” katanya.

Suara Sarawak