Sarawak tidak setuju tanam ketum

BETONG: Kerajaan Sarawak tidak bersetuju dengan penanaman ketum, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, Kerajaan Persekutuan hendak mengiktiraf tanaman ketum.

“Mereka mahu menghalalkan tanaman ketum. Kononnya didakwa sebagai ubat sedangkan ia sebahagian daripada dadah.

“Di peringkat negeri, saya sik berapa setuju nak nanam ketum tuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abang Jo di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dekat sini, semalam.

Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana Kerajaan Sarawak mementingkan penjagaan kesihatan tanpa penggunaan ketum.

Abang Johari mengambil contoh penggunaan dadah sebagai senjata perang untuk melemahkan manusia seperti sejarah pemerintahan China yang menggunakan candu.

“Tidak, Kerajaan Sarawak tidak akan bersetuju untuk menanam ketum,” katanya.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Risda Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan wajar memikirkan cara membantu pekebun kecil menambah pendapatan, bukannya mengharamkan penanaman ketum.

Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan seperti sekarang pendapatan petani dan pekebun kecil memang terjejas.

Justeru katanya, kerajaan wajar mencari jalan alternatif bagi meringankan kesempitan hidup rakyat termasuk menjalankan penanaman ketum.

“Dalam keadaan harga getah dan sawit jatuh sekarang, ketum merupakan alternatif terbaik kepada pekebun kecil,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail ketika membahaskan Rang UndangUndang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat baru-baru ini mencadangkan penanaman ketum dikomersialkan sebagai tanaman herba bagi rawatan kesihatan.

Katanya, ketum tumbuhan herba dan berpotensi menjadi ubat tradisional malah ia ditanam secara meluas di Florida.

Suara Sarawak