SARAWAK kaya dengan kepelbagaian biologi hutan yang unik sehingga dikenali sebagai salah satu titik utama biologi dunia.
Ia juga penyumbang tertinggi kepada liputan hutan di Malaysia dengan kadar peratusan 42 peratus (peratusan berbanding seluruh Malaysia) atau 7.65 juta hektar (62 peratus) daripada keseluruhan kawasan tanah negeri.
Berdasarkan Polisi Guna Tanah Sarawak, tujuh juta hektar kawasan berhutan negeri diperuntukkan untuk tujuan pengurusan hutan mampan dan pemeliharaan hutan, iaitu enam juta hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (PFE) bagi tujuan pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara berkekalan.
Manakala, satu juta hektar pula sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) untuk tujuan pemeliharaan alam semula jadi.
Selebihnya pula bagi tujuan pertanian, penempatan dan pembangunan lain.
Sehingga kini, kerajaan sudah berjaya mewartakan seluas 3,94 juta hektar PFE.
Sehingga kini, sebanyak 117 PFE diwartakan termasuk yang terbaru iaitu Hutan Simpan Bakam, Murum dan Bajah-Ujong Murud. Ketika ini, Jabatan Hutan merancang mewartakan Sebangkoi pula sebagai hutan lipur, sekali gus bakal menyaksikan pertambahan kepada jumlah keluasan dan bilangan PFE di Sarawak.
Hutan lipur Sebangkoi ini bakal menjadi antara yang terawal di Sarawak setelah pindaan Ordinan Hutan 2015 (Pindaan 2022), bagi menambah baik usaha pemuliharaan dan pendapatan hasil hutan bukan kayu di negeri ini.
Usaha itu membuktikan kerajaan melalui Jabatan Hutan Sarawak komited terhadap pengurusan sumber hutan yang mampan dengan amalan pengurusan terbaik sejajar dengan visinya untuk diiktiraf di peringkat global dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan demi kelestarian sosioekonomi dan alam sekitar.
Tidak sekadar itu, pelbagai program turut dilaksanakan antaranya, penguatkuasaan undang-undang melalui penggubalan Ordinan Hutan 2015, polisi pensijilan pengurusan hutan, inisiatif pemulihan landskap hutan di samping memanfaatkan kemajuan teknologi pemantauan dan pengurusan hutan.
Dalam pada itu, Sarawak kini juga sedang giat mempelbagaikan fungsi PFE sebagai inisiatif memanfaatkan sumber semula jadi hutan serta meningkatkan usaha untuk mewartakan lebih banyak kawasan bagi tujuan tersebut.
Selain itu, PFE yang juga memberi banyak faedah yang lain terutamanya sebagai kawasan tadahan air, sumber makanan serta keperluan penduduk setempat, menyediakan perkhidmatan ekosistem serta pelbagai lagi nilai yang tidak dapat diukur.
Salah satu hasil sumber hutan yang dikenal pasti adalah aktiviti perdagangan karbon yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu negeri.
Sarawak merupakan negeri pertama di negara ini menggubal undang-undang bagi mengawal selia aktiviti karbon melalui pindaan Kanun Tanah dan Ordinan Hutan.
Selaras dengan keperluan global terutama bagi menangani isu-isu perubahan iklim global, kerajaan negeri turut terlibat menjayakan aktiviti perdagangan karbon yang turut merangkumi pemerkasaan usaha seperti konservasi, restorasi dan pembangunan komuniti setempat.
Perlu disedari bahawa projek karbon ini penting bukan hanya menjamin kelestarian hutan warisan untuk generasi akan datang, malahan sebagai sumber alternatif pendapatan kerajaan meneruskan pelbagai projek pembangunan yang diperlukan oleh rakyat Sarawak.
Ini juga jelas menunjukkan sumber hutan pada masa kini bukan hanya dilihat dari pokok sahaja malah sebarang produk bukan kayu juga yang mempunyai nilai dan potensi ekonomi yang cukup tinggi.



