KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju menerima pakai dan mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sekiranya 1 Syawal 1447H jatuh pada hari Jumaat iaitu 20 Mac, maka 23 Mac (Isnin) akan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan di seluruh Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, jika 1 Syawal jatuh pada 21 Mac (Sabtu) maka, 20 Mac (Jumaat) merupakan hari kelepasan am tambahan di seluruh negeri ini.
“Pengisytiharan ini adalah sebagai tambahan kepada hari-hari kelepasan am yang diperuntukkan dalam Jadual Pertama Ordinan Hari Kelepasan Am,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan cuti am tambahan sehari sempena Hari Raya Aidilfitri sama ada Isnin atau Jumaat.



