Sarawak United lebih mantap

SKUAD Sarawak United akan tampil lebih mantap dengan kehadiran beberapa pemain handalan dari Semenanjung Malaysia dan pemain import luar negara.

Menurut sumber, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang dijangka akan mengambil jurulatih asing dari Sepanyol turut menambat beberapa pemain import asing berkualiti.

“Yang pasti, pasukan kali ini lebih mantap… seimbang di semua posisi. “Ia adalah adunan pemain handalan dari Sarawak serta Semenanjung Malaysia,” ujar sumber tersebut.

Skuad Sarawak telah pun hampir dua minggu menjalani latihan di bawah kendalian calon jurulatih baharu dan pembantunya, bekas jurulatih skuad Piala Belia yang juga bekas penyerang Sarawak.

FAS dijangka akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat ini setelah segala butiran terperinci mengenai jurulatih dan pemain lengkap.

Sarawak United dibentuk melalui pembelian lesen daripada kelab Selangor United yang menarik diri daripada Liga Premier 2020 ekoran masalah kewangan.

Bekas pemain Harimau Muda yang juga bekas pemain Malaysia, Ashri Chuchu merupakan antara pemain ternama yang telah pun ditambat oleh Sarawak United.

Suara Sarawak