Sarawak urus hutan secara lestari

SARIKEI: Jabatan Hutan Sarawak berjaya mengekalkan litupan hutan sebanyak 63 peratus daripada keluasan negeri ini
iaitu bersamaan dengan 7.8 juta hektar daripada 12.4 juta hektar.

Timbalan Pengarah Hutan Sarawak, Jack Liam berkata, seluas 4.3 juta hektar berjaya diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (PFE) di seluruh Sarawak.

Sebagai tambahan katanya, seluas 0.8 juta hektar kawasan telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya @ Totally Protected Areas yang meliputi Taman Negara, Rezab Semulajadi dan Santuari Hidupan Liar.

“Seluas 621,000 hektar kawasan lesen atau Unit Pengurusan Hutan (FMU) mendapat pengiktirafan Skim Persijilan Perkayuan (MTCS) sebuah badan persijilan hutan yang terbesar di dunia.

“Ini membuktikan hutan kita diurus secara berkekalan pada standard yang tertinggi dan mematuhi kriteria ketat,” katanya pada program Forest Run Sarikei, di sini, semalam.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Forest Run Sarikei.

Beliau berkata, hasil pengeluaran hutan atau balak adalah penyumbang besar pada purata RM500 juta setahun.

Malah katanya, industri perhutanan dan perkayuan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 100,000 orang.

Berdasarkan keunikan alam semulajadi termasuk gua, Kerajaan Sarawak turut mencalonkan Taman Negara Gunung Mulu dan seterusnya berjaya disenaraikan sebagai khazanah warisan dunia oleh UNESCO.

“Begitu juga, Kuching Wetland National Park disenaraikan sebagai Tapak Ramsar iaitu kawasan tanah lembab yang mempunyai kepentingan secara global.

“Justeru, saya menyeru supaya kita semua berganding bahu bagi memastikan hutan di negeri ini kekal terpelihara dan mampu melaksanakan segala fungsinya untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.

Program yang bermula jam 7.30 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 peserta.

Majlis perasmian program disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Hadir sama ADUN N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Tiasa Holdings Berhad, Dato’ Wong Sie Yong dan Timbalan Residen, Abang Porkan Budiman.

Len Talif menanam pokok kayu berlian sebagai sebahagian pengisian program Forest Run di Sarikei sambil diperhatikan Ding Koung Hiing dan tetamu jemputan yang lain.

Suara Sarawak