KUCHING: Sarawak Water melancarkan air minuman jenama Orkid yang bakal digunakan oleh syarikat penerbangan Sarawak, AirBorneo sebagai usaha mengetengahkan produk tempatan berasaskan sumber air negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelancaran jenama baharu itu mencerminkan pendekatan menyeluruh Kerajaan Sarawak dalam memanfaatkan sumber air, bukan sahaja sebagai keperluan asas malah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, penggunaan air minuman Orkid dalam penerbangan AirBorneo akan memberikan identiti tersendiri kepada syarikat penerbangan berkenaan dengan mengetengahkan hasil keluaran tempatan.
“Sebentar tadi, saya diberi penghormatan melancarkan produk baharu Sarawak Water berjenama Orkid. Air minuman ini akan digunakan dalam penerbangan AirBorneo kita.

“Jadi, AirBorneo mempunyai identiti tersendiri berbanding syarikat penerbangan lain kerana menawarkan air asli yang dihasilkan daripada sumber Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal dalam kenyataan hari ini berkata, pelancaran Orkid menandakan lembaran baharu dalam evolusi organisasi itu yang kini memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan bukan tarif bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Beliau menambah, hasil yang dijana menerusi inisiatif komersial itu akan disalurkan semula bagi meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur bekalan air, inovasi digital, kecemerlangan operasi dan mutu perkhidmatan pelanggan.
“Hari ini kami bukan sekadar memperkenalkan jenama air botol, tetapi cara baharu melihat Sarawak Water.
“Setiap titisan yang dijual mewujudkan nilai melebihi produk itu sendiri kerana ia membantu kami melabur dalam infrastruktur yang lebih kukuh, teknologi yang lebih pintar dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” jelasnya.
Malseni menjelaskan Orkid merupakan inisiatif pertama di bawah strategi pertumbuhan komersial Sarawak Water dan produk itu kini berada pada peringkat akhir pengeluaran sebelum dipasarkan secara komersial mulai Oktober 2026.
Beliau berkata jenama Orkid dipilih sebagai penghargaan kepada bunga kegemaran Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang melambangkan keanggunan, ketahanan dan nilai yang ingin diterapkan Sarawak Water dalam penyampaian perkhidmatannya.



