SARIKEI: Bahagian Sarikei bakal dipacu sebagai antara hab ekonomi baharu Sarawak menerusi pembangunan infrastruktur strategik, pengembangan sektor pelancongan serta pemeliharaan kawasan hutan paya bakau yang mempunyai potensi besar dalam ekonomi karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan rangkaian jalan raya dan jambatan yang menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis serta sebahagian Daro menjadi asas penting bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi di bahagian berkenaan.
“Kemudahan perhubungan yang lebih baik akan memudahkan pergerakan penduduk, barangan dan aktiviti ekonomi sekali gus memberi manfaat kepada kawasan luar bandar yang selama ini bergantung kepada akses pengangkutan yang lebih terhad.
“Keistimewaan Sarikei turut terletak pada keluasan kawasan hutan paya bakau yang mempunyai nilai alam sekitar tinggi, khususnya dalam menyerap dan menyimpan karbon,” katanya kepada media dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sarawakku Sayang 2026 di Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.
Beliau berkata, aset semula jadi berkenaan akan terus dipelihara, termasuk menerusi pembangunan kawasan seperti Taman Negara Bakau, yang berpotensi menyumbang kepada agenda ekonomi karbon dan membolehkan Sarawak mengambil bahagian lebih besar dalam perdagangan karbon pada masa hadapan.
“Tidak banyak kawasan di Malaysia mempunyai kawasan bakau yang begitu luas.
“Selain Perak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga mempunyai kawasan bakau yang besar, malah Sarawak antara yang paling luas,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata pembangunan sektor pertanian akan terus dilaksanakan di kawasan yang bersesuaian tanpa menjejaskan lokasi yang mempunyai potensi strategik dalam ekonomi baharu, termasuk pemeliharaan alam sekitar dan karbon.
Beliau berkata, kawasan Belawai pula dikenal pasti sebagai antara tumpuan pembangunan pelancongan baharu berikutan potensinya untuk menarik lebih ramai pelawat, selain sokongan kemudahan penerbangan di Tanjung Manis.
Menurutnya, landasan Lapangan Terbang Tanjung Manis dirancang untuk dipanjangkan bagi membolehkan pesawat jenis ATR beroperasi di situ, selaras dengan rancangan Sarawak memperoleh kira-kira enam pesawat ATR baharu bagi meningkatkan kesalinghubungan udara.
Katanya, pembangunan pelancongan di kawasan itu turut akan dilengkapi kemudahan padang golf dan penginapan bagi menarik pelancong, khususnya dari Korea Selatan dan Jepun, selain membuka peluang kepada industri hospitaliti serta perkhidmatan tempatan.
Abang Johari berkata, limpahan aktiviti pelancongan itu dijangka memberi manfaat kepada kawasan lain di Bahagian Sarikei, termasuk Julau yang mempunyai tarikan tersendiri.
Menurutnya, perancangan pembangunan yang dirangka bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan seterusnya akan memperkukuh ekonomi bahagian itu berasaskan kepelbagaian sektor, selain pertanian dan industri buah-buahan.



