SARIKEI: Bahagian Sarikei mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara pengeluar komoditi utama di Sarawak selain menjadi model pembangunan sektor agro moden yang menggabungkan inovasi, teknologi dan aktiviti bernilai tambah bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kekuatan Sarikei yang memiliki tanah pertanian subur, sumber komoditi yang pelbagai serta masyarakat yang aktif dalam sektor agro menjadikan bahagian itu mempunyai asas kukuh untuk dikembangkan sebagai kawasan pengeluaran komoditi berdaya saing.
“Antara komoditi yang menjadi kekuatan Bahagian Sarikei termasuk n a n a s , lada, kelapa sawit, padi dan pelbagai hasil pertanian lain yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi setempat, malah mempunyai ruang besar untuk dikembangkan melalui pendekatan moden.
“Fokus kita bukan lagi sekadar meningkatkan jumlah pengeluaran, tetapi bagaimana hasil pertanian dapat diproses menjadi produk hiliran, mempunyai nilai pasaran lebih tinggi, membentuk jenama tempatan dan seterusnya menembusi pasaran yang lebih luas termasuk eksport,” katanya pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di Dewan Sentral, semalam.
Menurutnya, pendekatan berasaskan teknologi, penyelidikan dan inovasi perlu diperkasakan bagi memastikan sektor agro di Sarikei mampu bergerak daripada pengeluaran bahan mentah kepada rantaian nilai yang lebih lengkap serta menguntungkan pengusaha tempatan.
Katanya, usaha berkenaan juga perlu disokong dengan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan, pemain industri dan komuniti setempat supaya lebih banyak peluang keusahawanan serta pekerjaan dapat diwujudkan, khususnya untuk golongan muda.
Huang berkata, program Sarawakku Sayang bukan sekadar platform untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar serta agenda pembangunan kerajaan, malah menjadi medium mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, peranan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) amat penting dalam memastikan dasar, program dan projek pembangunan dapat disampaikan serta dilaksanakan secara berkesan kerana mereka merupakan penghubung utama antara kerajaan dengan masyarakat setempat.
“Kerajaan Sarawak juga sentiasa menghargai sumbangan KMKK dalam membantu menjayakan agenda pembangunan negeri.
Selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030, kebajikan institusi KMKK terus diberi perhatian termasuk peningkatan kadar gaji dan elaun bulanan sebanyak RM400 yang berkuat kuasa Januari 2026,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas perhatian berterusan terhadap pembangunan Bahagian Sarikei, termasuk pelaksanaan projek Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman bernilai RM321 juta yang dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan hubungan antara kawasan di bahagian berkenaan.






