Mengambil ubat tanpa mengetahui cara pengambilan, penyimpanan atau dos yang betul boleh menjejaskan keberkesanan rawatan, malah berisiko mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
Dalam masa yang sama, kecenderungan sesetengah anggota masyarakat untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan hanya apabila mengalami gejala serius menyebabkan pelbagai penyakit tidak berjangkit berisiko dikesan pada peringkat lebih lewat.
Kesedaran mengenai penggunaan ubat secara betul serta kepentingan menjalani saringan kesihatan secara berkala perlu terus dipupuk dalam komuniti bagi membolehkan masyarakat mengambil langkah pencegahan dan mendapatkan rawatan lebih awal.
Program Aspirasi Sihat Komuniti: Saring Awal, Berubat Bijak menjadi antara usaha ke arah itu dengan menyediakan platform pendidikan kesihatan dan saringan awal kepada masyarakat di Balingian.
Pengerusi program, Mohd Farkhan Terkey berkata, penganjuran program itu memberi penekanan konsep 5B dalam penggunaan ubat, di samping memberikan pendidikan mengenai kaedah penyimpanan dan pengambilan ubat yang betul.
“Pengetahuan berkenaan penting bagi memastikan ubat kekal berkesan dan selamat digunakan, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan rawatan yang diterima.
“Program ini juga menggalakkan masyarakat menjalani saringan kesihatan awal bagi mengesan penyakit tidak berjangkit supaya tindakan usulan dan rawatan dapat diberikan lebih awal sekiranya diperlukan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program berkenaan penting dilaksanakan dalam komuniti memandangkan masih terdapat anggota masyarakat yang kurang memahami amalan penggunaan serta penyimpanan ubat yang betul.
Ujarnya, melalui pendidikan kesihatan dan saringan awal, masyarakat bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan mengenai penggunaan ubat, malah dapat mengetahui status kesihatan masing-masing.
“Dengan mengetahui status kesihatan lebih awal, masyarakat boleh mendapatkan nasihat dan rawatan sewajarnya sebelum sesuatu masalah kesihatan menjadi lebih serius.
“Disebabkan itu, program berkenaan terbuka kepada seluruh komuniti Balingian dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Farkhan memberitahu, masyarakat mengambil peluang untuk menjalani pelbagai saringan kesihatan selain mengunjungi pameran farmasi dan mengikuti ceramah berkaitan kesihatan.
Aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna kanakkanak dan pertandingan menu sihat turut diadakan serta mendapat penyertaan yang baik.
“Ini menunjukkan masyarakat semakin peka terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan penggunaan ubat yang betul,” ujarnya lagi.
Program berkenaan dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Balingian dengan kerjasama Panel Penasihat Klinik Kesihatan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Balingian Baru, selain mendapat sokongan serta sumbangan daripada pelbagai pihak.
Antara saringan yang disediakan kepada peserta termasuk pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah, kolesterol dan indeks jisim badan (BMI), selain khidmat kaunseling serta pendidikan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain sekiranya mendapat sambutan yang baik serta tertakluk pada perancangan dan sumber yang tersedia.
“Usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai anggota masyarakat mendapat manfaat daripada pendidikan kesihatan dan saringan awal.
“Harapan kami agar masyarakat lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani saringan secara berkala serta menggunakan ubat dengan betul berdasarkan amalan 5B.
“Kami juga berharap ilmu yang diperoleh dapat diamalkan dan dikongsi dengan ahli keluarga serta komuniti bagi mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan celik ubat,” tambahnya.



