Trending

Saringan kanser payudara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DALAT: Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG) telah berjaya mengadakan program jangkauan saringan kesihatan kanser payudara di Sungai Kut di sini, baru-baru ini. 

Menurut kenyataan SCAN, mereka turut dibantu oleh lima orang jururawat dari Klinik Kesihatan Dalat untuk memudahkan pemeriksaan kesihatan, memeriksa tekanan darah, glukosa dan kolesterol penduduk. 

“Penemuan payudara yang tidak normal dalam kalangan wanita melalui pemeriksaan payudara klinikal telah diperiksa dengan lebih tepat menggunakan mesin ultrabunyi genggam mudah alih yang telah disumbangkan oleh Church of Latter-day Saints.

 “Manakala, diagnosis khusus telah dilakukan oleh pakar bedah payudara SBCSG Dr Sharifah Ashina Wan Ali dan beliau juga turut mendedahkan mengenai kanser serta kesihatan payudara kepada yang hadir. 

 “Semasa saringan tersebut, terdapat seorang wanita didapati mempunyai penemuan abnormal dan mencurigakan serta dirujuk ke Hospital Sibu untuk mamogram dan biopsi,” katanya. 

Dalam masa sama, Penasihat SCAN Datin Dayang Mariani Abang Zain telah mengadakan sesi interaktif bersama wanita dan berkongsi mengenai perjalanan sebagai pesakit kanser payudara. 

Sehubungan itu, SCAN turut mendokumentasikan projek ini untuk menunjukkan jurang dan cabaran yang dihadapi oleh pelbagai komuniti di Sarawak. 

Pengeluaran video dan jangkauan kanser payudara ini diketuai oleh Ketua Projek dan Ahli Jawatankuasa SCAN Dr Melissa Lim, manakala pemeriksaan payudara diketuai oleh Presiden SBCSG Datin Juriah Sulehan. 

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di kawasan Dalat kerana ia diadakan semasa Pesta Kaul dan hampir 100 orang penduduk yang hadir untuk memeriksa status kesihatan mereka. 

Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah. 

Justeru, program ini akan diadakan di Rumah Untang, Ulu Kapit pada akhir Julai untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser sekali gus memberi sokongan dan nasihat penting kepada mereka yang memerlukan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru