ARTIKEL

Sarjana, cendekiawan Islam digesa bersatu demi Palestin dan Syria

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MANAMA, Bahrain: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menggesa para sarjana dan cendekiawan dunia Islam untuk bersatu menentang perpecahan mazhab, serta mengambil tindakan konkrit dalam usaha menyokong Palestin dan Syria.

Dalam ucapannya pada majlis yang dihadiri 400 sarjana Islam, pemimpin agama dan pakar di Persidangan Dialog Intra-Islam di sini, Anwar mengecam keras eksploitasi perbezaan mazhab.

Beliau memberi amaran bahawa perpecahan seperti itu melemahkan perpaduan politik, dan menghalang kerjasama yang diperlukan dalam kalangan negara Islam.

“Namun demikian, masih ada yang melihat perbezaan itu bukan sebagai sumber kekayaan, tetapi sebagai garis pemisah yang boleh dimanipulasi demi kepentingan mereka sendiri.

“Sektarianisme telah dijadikan senjata untuk membangkitkan ketegangan, memecahbelahkan masyarakat, dan melemahkan perpaduan politik.

“Ia telah menghalang kerjasama antara negara yang seharusnya bersatu sebagai sekutu berdasarkan logik dan keperluan,” katanya di sini semalam.

Ucapan Anwar itu selari dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif, Prof. Dr Ahmed El-Tayyeb, yang menggesa para sarjana dan golongan elit dunia Islam untuk memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai satu ummah yang bersatu.

Anwar merupakan satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput untuk berucap dalam persidangan ini.

Ia diadakan di bawah naungan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, serta dihadiri oleh Imam Besar Al Azhar.

Acara ini berlangsung semasa lawatan rasmi pertama Anwar ke negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa.

Dalam satu gesaan bagi tindakan yang tegas, Anwar menegaskan bahawa perjuangan Palestin adalah akibat langsung daripada perpecahan dalam dunia Islam.

Beliau menyeru agar tindakan lebih konkrit diambil berbanding sekadar kecaman lisan.

“Selama berdekad, rakyat Palestin berhadapan dengan penjajahan, pengusiran dan ketidakadilan yang sistematik.

“Perjuangan mereka adalah peringatan nyata tentang akibat perpecahan dalam ummah kita.

“Dunia Islam mesti menunjukkan solidariti yang lebih besar terhadap Palestin, bukan sekadar melalui isyarat kosong, tetapi dengan tindakan kolektif, usaha diplomatik, dan sokongan ekonomi,” katanya.

Anwar berkata kebergantungan ekonomi, perpecahan politik, dan kegagalan membentuk barisan yang bersatu, telah membiarkan rakyat Palestin terus menjadi sasaran agresif tanpa henti.

“Pembunuhan beramai-ramai di Gaza, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan keluarga-keluarga Palestin, menuntut lebih daripada sekadar kecaman secara kata-kata.

“Kita mesti komited dalam menyediakan sumber nyata untuk menyokong pendidikan, penjagaan kesihatan, dan infrastruktur Palestin.

“Kita mesti tanpa henti memperjuangkan nasib Palestin di setiap forum antarabangsa,” kata Anwar.

Selain Palestin, Perdana Menteri turut menekankan bahawa Syria berpotensi menjadi model bagi usaha perdamaian dan rujukan.

Beliau menggesa dunia Islam untuk sama-sama menggambarkan masa depan mereka.

“Tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria bukan sahaja membawa harapan kepada rakyatnya, tetapi juga peluang bagi seluruh ummah.

“Syria berpotensi menjadi model rujukan yang melangkaui perpecahan politik dan mazhab,” katanya.

Persidangan ini dianjurkan bersama oleh Al Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain, dan ‘Muslim Council of Elders’, sebagai kesinambungan usaha yang dimulakan semasa Forum Dialog Bahrain pada November 2022.

Menurut Agensi Berita Bahrain, inisiatif yang dipelopori oleh Imam Besar itu bertujuan memperkukuh perpaduan Islam, dan memperdalam dialog dalam kalangan sarjana Islam. – BERNAMA (Noor Bakhtiar Ahmad & Nik Nurfaqih Nik Wil)

TAG: Anwar, Perdana Menteri, Bahrain, Imam Besar Al Azhar, Palestin

SEO keywords: Anwar Ibrahim, perpaduan Islam, Palestin dan Syria, persidangan Islam, seksarianisme dalam Islam, Imam Besar Al Azhar Al Sharif, Prof. Dr Ahmed El-Tayyeb, Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, ‘Muslim Council of Elders’

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Gagal Bayar Denda RM10,000, Dua Individu Dipenjara

BAU: Dua individu dihantar ke Penjara Puncak Borneo selepas gagal membayar denda RM10,000 setiap seorang yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bau atas kesalahan berkaitan transaksi kewangan,