KUCHING: Seramai 100,000 warga emas daripada golongan miskin dan miskin tegar disasar untuk menerima Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB), berdasarkan unjuran populasi warga emas di Sarawak pada 2023 dan 2024 iaitu masing-masing seramai 310,836 orang dan 312,080 orang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ketika ini, seramai 75,137 orang warga emas yang layak sudah dikenal pasti iaitu 49,041 orang menerusi data e-Kasih dan 26,096 orang daripada Pengurusan Bantuan Kebajikan Negeri (SWAM).
“Kita berharap lebih kurang 30,000 orang lagi yang belum dikenal pasti dapat membuat permohonan bagi menerima SCHB selepas ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SCHB di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur II di Petra Jaya, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata bermula 22 Julai ini di bawah fasa kedua, pemilihan bagi warga emas yang memenuhi kriteria kelayakan akan dibuat dan pautan akan dibuka untuk permohonan secara dalam talian.
“Semakan kelayakan dan permohonan boleh dibuat melalui pautan Sarawak Service (https://sarawak.gov.my), laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (https://kpwk.sarawak.gov.my) dan laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (https://welfare.sarawak.gov.my),” katanya.
Menjelas lanjut, Fatimah berkata kriteria kelayakan SCHB adalah berumur 60 tahun ke atas, warganegara Malaysia yang merupakan pemegang kad pengenalan berstatus ‘K’, berpendapatan bulanan isi rumah RM7,000 ke bawah dan tidak mendapat pembiayaan/perlindungan rawatan pesakit luar daripada mana-mana agensi lain.



