SINGAPURA: Malaysia menyasarkan untuk menyambut ketibaan 27.3 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Singapura Mohana Murni Shanmugam berkata, daripada jumlah itu, 10 juta dari Singapura, menjana perolehan sebanyak RM102.7 bilion menerusi pelancongan.
“Pada tahun lepas Singapura merupakan sumber teratas pasaran pelancong ke Malaysia menyumbang sebanyak 8.3 juta ketibaan pelawat.
“Justeru, dalam Tahun Melawat Malaysia 2026, sejumlah 35.6 juta pelancong disasarkan tiba dengan membawa unjuran perolehan sebanyak RM147.1 bilion,” katanya seperti dipetik oleh Bernama ketika beliau ditemui di Malaysia Travel Escapade 2024 yang dianjurkan buat julung kalinya di Suntec City Mall di sini, dari 12 hingga 14 April.
Pada pameran tersebut, sedikit sebanyak gambaran kebudayaan Malaysia yang dinamik dipamerkan menerusi kraf tangan tradisional dan produk termasuk lada hitam Sarawak, gula apong dan gula kelapa selain daripada perkhidmatan spa yang menyegarkan tubuh daripada kelesuan, ihsan daripada Persatuan Spa Malaysia (AMSPA).
Pengurus Spa Manja Roselyn berkata, antara tawaran dalam pameran itu termasuk pakej dua jam bernilai S$48 untuk pelanggan spa itu yang berada di Johor Bahru.
“Pelanggan kami adalah 50:50 antara orang tempatan dan Singapura.
Spa merupakan satu daripada tarikan utama untuk warga Singapura semasa mereka melawat Malaysia.
“Pameran ini memberikan peluang kepada kami untuk mempromosi produk kami dan pengalaman spa Malaysia kepada warga Singapura dan membantu meningkatkan pelancongan di Malaysia,” katanya.






