ARTIKEL

Satu tarikh dua takdir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SAYA lahir pada jam 1.45 pagi, 27 Disember. Itulah yang tercatat dalam sijil kelahiran saya.

Membesar di dalam sebuah rumah bertiang tinggi, sederhana besar, tiada peti sejuk, tiada televisyen dan tiada satu pun kemudahan lain. Zaman kanak-kanak saya, cuma ada sungai di depan rumah.

Dari jendela rumah, saya melihat perahu membawa jualan, ibuibu yang membasuh baju di jeti, kawan-kawan yang seronok terjun ke dalam sungai dan adakalanya melihat batang sagu bergolek panjang seperti keretapi meluncur menelusuri sungai.

Itulah zaman kecil saya.

Namun tiada kawan-kawan yang tahu, saya lahir bersama satu peristiwa hitam dalam sejarah Sarawak — tragedi kapal Pulau Kidjang, pada 27 Disember 1973, yang tenggelam pada dinihari hari yang sama, meragut ratusan nyawa di muara Sungai Rejang.

Ketika masih kecil, ibu saya sering bercerita bahawa saya lahir pada malam orang Sarawak sedang bersedih.

Katanya, saya lahir, orang lain pergi.

Pada usia yang belum memahami makna kehilangan, nama Pulau Kidjang sudah melekat dalam ingatan saya.

Ia disebut berulang kali di rumah, diceritakan oleh orang tua, dan kemudiannya saya temui dalam rencana akhbar serta buku sejarah.

Setiap kali hari jadi menjelma, nama itu muncul semula, seolah-olah tarikh kelahiran saya terikat rapat dengan sebuah tragedi yang tidak pernah benar-benar sembuh.

Saya lahir di sebuah kampung yang hanya mengambil masa beberapa jam perjalanan dari kawasan Rejang, perkampungan yang majoriti penduduknya masyarakat Melanau.

Bagi kami, sungai dan laut bukan sekadar bentang alam.

Ia adalah laluan hidup, sumber rezeki dan tempat bergantung harap.

Apabila usia meningkat dan saya mula memahami sejarah negeri sendiri, tarikh 27 Disember tidak lagi sekadar hari lahir.

Ia berubah menjadi hari peringatan.

Disember, dengan hujan yang hampir tidak putus dan angin yang berubah-ubah, sering menjadi bulan yang menguji ketahanan mereka yang hidup di pesisir.

Laut yang sama memberi rezeki, juga mampu menelan harapan.

Baru-baru ini, pak cik kepada sahabat saya ditelan laut yang sama selepas bot mereka karam — juga pada Disember.

Kisah itu terasa dekat, seakanakan mengulang luka lama. Ia mengingatkan bahawa tragedi bukan sekadar catatan sejarah, ia boleh muncul kembali dalam wajah dan nama yang berbeza. Kisah Pulau Kidjang bukan sekadar tentang sebuah kapal.

Dalam satu malam, segalanya terhenti.

Kira-kira 15 minit selepas tangisan pertama saya didengar, sekitar jam 2.00 pagi itu — pasti ada jeritan terakhir yang tenggelam bersama ombak di muara Rejang.

Dua peristiwa bertentangan berlaku hampir serentak — satu menandakan permulaan hidup, satu lagi penamat kepada ratusan yang lain.

Tragedi itu berlaku dalam musim tengkujuh, ketika laut pada hujung tahun jarang benar-benar tenang. Ombaknya boleh berubah dalam sekelip mata, anginnya datang tanpa amaran.

Musim ini, saban tahun menguji mereka yang bergantung hidup kepada laut khususnya nelayan kecil yang keluar awal pagi atau pulang lewat malam demi mencari rezeki keluarga.

Hidup sebagai insan yang mencari rezeki di laut bukanlah mudah.

Ketika gelora melanda, mereka bukan sahaja berdepan risiko nyawa tetapi juga tekanan hidup.

Ada yang terpaksa menangguhkan turun ke laut berhari-hari malah bermingguminggu, menunggu ombak reda dan angin kembali menghembus sepoi-sepoi bahasa.

Dalam tempoh menunggu itu, dapur tetap perlu berasap, anak-anak tetap perlu ke sekolah dan keperluan hidup tidak pernah berhenti menuntut perhatian.

Tragedi Pulau Kidjang seharusnya menjadi peringatan abadi bahawa Disember bukan bulan untuk memandang ringan soal keselamatan di laut.

Nelayan perlu lebih berhati-hati memerhati ramalan cuaca, memastikan bot dan enjin berada dalam keadaan baik, memakai jaket keselamatan, dan tidak memaksa diri turun ke laut apabila tanda bahaya mula muncul.

Setiap keputusan untuk ke laut atau tidak, sebenarnya keputusan antara rezeki dengan risiko.

Semua pengalaman ini membuatkan saya percaya bahawa hidup datang bersama tanggungjawab.

Kita yang masih bernyawa perlu belajar daripada kehilangan orang lain, bukan sekadar mengenangnya setahun sekali.

Pulau Kidjang kekal sebagai luka yang tidak berdarah lagi, tetapi masih terasa di hati.

Pulau Kidjang bukan sekadar nama dalam lipatan sejarah Sarawak.

Ia sebuah ingatan tentang sebuah tragedi yang membentuk kesedaran kita terhadap laut, keselamatan dan harga sebuah kelalaian.

Kapal itu sudah lama karam tertanam di dasar muara Rejang bersama rangka besi dan sisa-sisa perjalanan terakhirnya, tetapi kisahnya terus hidup dalam ingatan generasi ke generasi.

Pulau Kidjang bukan untuk ditangisi semata-mata tetapi untuk dijadikan pengajaran. Ia mengajar bahawa laut tidak pernah berubah sifatnya, hanya manusia yang sering lupa.

Selagi kisah Pulau Kidjang diceritakan, selagi itulah kita diingatkan agar lebih berwaspada dan lebih menghargai nyawa.

Tragedi itu adalah sebahagian daripada sejarah dan tanggungjawab kitalah memastikan ia tidak tenggelam bersama masa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Liputan Internet Kota Sentosa capai 98.5 peratus

KUCHING: Liputan Internet mengikut kawasan penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa kini mencapai 98.5 peratus, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk

Polis Sahkan Pegawai Kastam Maut Dipercayai Dibunuh Suami

NILAI: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.