Saya akan berundur – Yassar

SARIKEI: Pengerusi Persatuan Melanau Sarikei (PMS), Mohd Yassar Raffie menyatakan kesanggupannya untuk berundur dari jawatan yang disandangnya hari ini.

Yassar ketika menemui wartawan Suara Sarawak berkata, dia mengambil keputusan itu untuk memberi peluang kepada muka baharu.

Menurutnya, mesyuarat agung persatuan itu dijangka berlangsung di Taska Persatuan Melanau pada 29 September ini.

“Kita menjangkakan mesyuarat kali ini menyaksikan rombakan secara besar-besaran AJK persatuan. Malah, kemungkinan besar menyaksikan kehadiran muka baharu yang mampu menerajui persatuan ini ke arah lebih baik, ” katanya.

Yassar optimis mereka yang bakal merebut jawatan itu terdiri dalam kalangan profesional dan berpengalaman.

Yassar Raffie

Katanya, antara mereka ialah Sulaiman Bohari, Supian Senuani, Mohsen Kaderi, Awangkok Dewa Awang Taip, Doktor Noh Sebi, Ayub Alli dan beberapa lagi nama lain.

“Saya berundur untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembikinan kamus Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit.

“Bagaimanapun, saya bersedia memberikan kerjasama kepada ahli jawatankuasa dalam melaksanakan aktiviti persatuan,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan ahli sepanjang tempoh menerajui persatuan berkenaan.

“Saya menjemput ahli persatuan agar hadir beramai-ramai bagi memudahkan kelancaran mesyuarat agung nanti. Kita mempelawa kemasukan ahli baharu,” tambahnya.

Suara Sarawak