Saya tidak main-main, degil tangkap, dikenakan kompaun dan tutup kedai serta-merta – Clarence Ting

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh mengulangi peringatannya terhadap premis di bandar ini yang ingkar arahan PKP apabila membuka kedai kopi dan menerima pelanggan untuk makan minum di dalam kedai.
“Hari ini tiga kedai kopi di Taman Rejang di sini yang didapati membenarkan pelanggannya menjamu hidangan di dalam premis.
“Saya menggesa orang ramai untuk berfikir terlebih dahulu sebelum memasuki premis berkenaan.
“Ini baru hari kedua Sibu melaksanakan PKP dan ramai yang sudah mengambil ringan.
“Jangan main-main dan pandang ringan arahan kami. Melihat kedegilan ini, saya mengarahkan penguat kuasa MPS dan PDRM untuk terus memantau dan jika masih degil, MPS akan menutup terus operasi dengan kompaun sekali,” katanya kepada Suara Sarawak sebentar tadi.

AMARAN…Ting ketika memberi amaran kepada pengusaha kedai kopi berkenaan.

Awal pagi ini, MPS menerima laporan ada premis makanan yang membenarkan orang ramai menjamu selera dan bersantai di dalam kedai kopi seperti tidak ada apa-apa berlaku.
Rentetan aduan itu, Ting dan pasukan penguat kuasa dengan segera pergi memantau keadaan di kawasan komersial Taman Rejang dan mengarah serta-merta pemilik premis menutup operasi.
“Covid-19 bukan bukan untuk dipandang ringan. Jangan suka-suka jamu pelanggan, pelanggan pun sama, jangan bersantai di dalam kedai kopi.
“Kedai kopi di sepanjang Dewan Suarah dan Pasar Sungai Merah turut membenarkan pelanggan makan di dalam premis itu.
“Kami serbu. Kami akan terus pantau. Bagaimanapun, kehadiran kami dapat dihidu, segelintir sahaja yang sempat kami serbu,” ujar beliau.
PANTAU…Ting ketika memantau sendiri SOP PKP membabitkan premis-premis perniagaan di Sibu pada hari kedua PKP.

Beliau mengakui sangat kecewa dengan sikap segelintir pengusaha kedai kopi yang masih ingkar akan SOP PKP yang telah ditetapkan.
“Saya menasihati mereka sudah jangan menyediakan hidangan di dalam premis.
“SOP PKP hanya membenarkan mereka berniaga dengan membungkus makanan dan minuman sahaja.
“Justeru, saya memerlukan bantuan orang awam di kawasan lain juga untuk melaporkan terus kepada saya mengenai kegiatan ini dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan COVID-19 di Sibu,” tegas beliau.
Menurut Ting, buat masa ini, MPS cuma amaran dulu namun pihak penguat kuasa dan polis sudah diarah untuk tidak berkompromi lagi jika ada yang masih ingkar.

Suara Sarawak