BUKU Bahasa Kita dan Bahasa Orang karya Hasan Baseri Budiman merupakan karya yang bermakna dalam mengungkapkan isu-isu berkaitan bahasa Melayu.
Buku ini menghimpunkan 30 rencana pendek dengan memberikan refleksi mendalam tentang perjalanan bahasa Melayu yang merangkumi segala cabaran, perubahan dan nilai yang terpendam di sebalik penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
Setiap penulisan disampaikan dengan gaya yang penuh pemikiran.
Seolah-olah penulis ingin mengajak pembaca untuk lebih mendalami bahasa Melayu bukan hanya dari segi struktur, tetapi juga dari sudut budaya dan identiti bangsa.
Hasan Baseri Budiman tidak hanya merujuk kepada bahasa sebagai alat komunikasi semata-mata, tetapi turut menyorot aspek pengaruh luar, globalisasi dan pergeseran generasi yang semakin mengikis keaslian bahasa kita.
Beliau berusaha mengekalkan bahasa Melayu sebagai medium yang tidak hanya relevan dalam konteks negara tetapi juga dalam menjaga warisan budaya bangsa yang unik.
Menarik tentang buku ini apabila penulis melontarkan pandangannya dengan bahasa yang mudah, namun sarat dengan makna.
Setiap bab membawa pembaca untuk berfi kir dan merenung kembali tentang peranan bahasa dalam membentuk jati diri serta betapa pentingnya kita menjaga kelestarian bahasa dalam menghadapi cabaran masa depan.
Penulis juga tidak takut untuk mengkritik fenomena yang mengancam bahasa Melayu, namun turut mencadangkan jalan penyelesaian yang realistik dan praktikal.
Secara keseluruhannya, Bahasa Kita dan Bahasa Orang bukan sekadar memperkenalkan isuisu bahasa tetapi turut menanam rasa cinta dan tanggungjawab terhadap bahasa yang menjadi tonggak sesebuah bangsa.
Buku ini merupakan panggilan untuk menghargai dan mempertahankan bahasa Melayu sebagai aset berharga yang mesti diwarisi dan dipertahankan oleh generasi akan datang.
Pada masa yang sama, penulis jelas mengungkapkan perasaan kecewanya terhadap fenomena apabila bahasa Melayu masih dipandang rendah, bukan sahaja oleh masyarakat umum tetapi juga oleh sebahagian pemimpin dan golongan profesional.
Tulisannya turut mengajak kita merenung lebih dalam tentang peranan bahasa Melayu yang semakin terpinggir, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat.
Penulis tidak sekadar meluahkan kekecewaannya, tetapi turut memberikan amaran tentang risiko besar yang bakal dihadapi oleh bangsa kita sekiranya terus mengabaikan penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Sikap yang diungkapkan penulis mencerminkan perasaan kesal terhadap realiti bahawa bahasa Melayu kini dilihat oleh segelintir masyarakat sebagai bahasa kelas kedua dan hanya sesuai digunakan oleh golongan berpendidikan rendah.
Hal ini memberi kesan besar terhadap jati diri bangsa kerana bahasa bukan hanya alat komunikasi tetapi juga lambang identiti dan kekuatan sesebuah masyarakat.
Pemikiran ini semakin diwarnai oleh pengaruh globalisasi yang sering menekankan keperluan untuk menguasai bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris tanpa memberikan perhatian yang secukupnya kepada peranan dan fungsi bahasa kebangsaan.
Namun, lebih daripada sekadar kritikan, penulis mengajak kita untuk menilai kembali nilai bahasa Melayu daripada perspektif yang lebih positif dan berdaya saing. Beliau ingin melihat bahasa Melayu bukan hanya digunakan dalam perbualan harian, namun perlu dihargai dalam urusan rasmi, dunia perniagaan dan juga dalam kalangan generasi muda.
Dengan harapan ini, penulis menggugah kita untuk sama-sama berperanan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan serta menjadikannya alat untuk mencapai kejayaan dalam dunia yang semakin terbuka dan kompetitif.
Lebih menarik ialah seruan penulis untuk kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, keturunan, agama, dan bangsa untuk sama-sama menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa yang memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian dan masa depan negara.
Dalam kerangka itu, Bahasa Kita dan Bahasa Orang bukan sekadar sebuah karya yang mengkritik, namun sebagai tuntutan untuk kita menyedari betapa pentingnya bahasa kebangsaan dalam membina kekuatan bangsa, menjaga warisan budaya dan meraih kemajuan negara bersamasama.



