ARTIKEL

Datuk Mohammad Faiz Azmi

SC diiktiraf sebagai pihak kawal selia terbaik promosi kewangan Islam di Anugerah IFN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) diiktiraf sebagai Pengawal Selia Terbaik dalam Mempromosikan Kewangan Islam bagi tahun ketiga berturut-turut di Anugerah Islamic Finance News (IFN).

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan usaha SC sebagai pihak kawal selia malah juga mengiktiraf sumbangan rakan ekosistem, khususnya komitmen peserta industri terhadap pertumbuhan kewangan Islam.

“Pada masa ini, aset kewangan Islam global mencecah hampir US$6 trilion dan dijangka terus berada pada trajektori meningkat. Aset diunjurkan mencapai US$9.7 trilion menjelang 2029, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 10 peratus.

“Di peringkat domestik, Pasaran Modal Islam (ICM) kami telah berkembang kepada RM2.7 trilion, menyumbang lebih 60 peratus kepada saiz pasaran modal Malaysia.

“Ini mengesahkan keyakinan selama berdekad bahawa sistem yang berteraskan keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama bukan sahaja kukuh, malah juga berdaya maju,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah IFN di sini, semalam.

IFN ialah penyedia berita, analisis dan data kewangan patuh syariah secara digital dan berasaskan langganan yang terkemuka di dunia.

Beliau juga berkata ketegangan geopolitik yang semakin meningkat memberi kesan melangkaui konflik Asia Barat dan tidak lagi sekadar berita utama yang jauh.

“Kita menghadapi gangguan terhadap keterjaminan makanan, pasaran tenaga, rantaian bekalan dan sumber pendapatan.

“Di Malaysia, kenaikan harga bahan api menjadi peringatan bahawa tiada ekonomi yang benar-benar kebal,” katanya.

Mohammad Faiz berkata selain itu, keterjaminan tenaga juga turut terjejas.

Berdasarkan kira-kira 25 hingga 30 peratus minyak global dan 20 peratus gas asli cecair (LNG) dihantar melalui Selat Hormuz, sebarang gangguan akan meningkatkan kos bagi ekonomi yang bergantung kepada import di seluruh Asia dan Eropah, katanya.

Beliau berkata justeru, kewangan Islam, dengan penekanan terhadap aktiviti ekonomi sebenar, tujuan sosial dan perkongsian risiko, perlu memberikan respons yang positif.

Beliau berkata agenda ICM SC terus berpandukan maqasid syariah yang menekankan keadilan, perlindungan kepada golongan rentan, menggalakkan kebaikan dan menghindari kemudaratan.

“Ini bukanlah rangka kerja untuk pematuhan. Ia adalah seruan kepada tujuan,” katanya.

Mohammad Faiz berkata mengikut Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, ICM Malaysia akan beralih daripada kepimpinan berpusatkan produk kepada kepimpinan dipacu etika, dengan matlamat untuk menjadi tumpuan rujukan global bagi kewangan yang telus dan berteraskan tujuan.

Beliau berkata industri juga perlu mengatasi cabaran mendesak lain seperti ketidaksamaan pendapatan dan keterjaminan pascapersaraan serta kesan perubahan iklim yang semakin meningkat, di samping berpandangan ke hadapan terhadap pembangunan pasaran modal Malaysia jangka masa panjang sehingga 2040.

“Ini melibatkan peluasan akses kepada segmen kumpulan modal, penerbit dan segmen pelabur baharu.

“Perkara ini juga merangkumi pengukuhan kedudukan pasaran modal kita melalui penyenaraian syarikat asing dan Dana Dagangan Bursa (ETF) yang berfokuskan serantau, di samping terus mengutamakan tadbir urus yang baik merentas segmen Islam dan konvensional,” katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai