KUCHING: Sarawak Children’s Arts & Literature Festival (SCALF) 2026 kembali lagi dengan pelbagai pengisian menarik menerusi 16 ruang interaktif yang disediakan khas untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.
Festival anjuran Pustaka Negeri Sarawak (Pustaka) itu dijadual berlangsung selama dua hari di Pustaka Negeri Sarawak pada 12 dan 13 September ini, bermula 9 pagi hingga 6 petang.
Menurut kenyataan Pustaka Negeri Sarawak, SCALF 2026 mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan seni, kreativiti, kesusasteraan, sains, permainan, alam semula jadi, ruang penciptaan, persembahan serta penerokaan.
“Menerusi pendekatan pembelajaran yang santai dan menyeronokkan, festival berkenaan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membaca, bermain, berkarya serta mengembangkan daya imaginasi dalam suasana yang interaktif.
“Penganjuran SCALF 2026 turut bertujuan memupuk minat membaca, menggalakkan kreativiti serta menyemai budaya berkarya dan berimaginasi dalam kalangan kanak-kanak,” kata kenyataan itu, hari ini.
Selain memberi pengalaman pembelajaran yang berbeza, festival berkenaan menjadi platform untuk memperkenalkan Pustaka sebagai ruang pembelajaran dan penerokaan yang mesra kanak-kanak.
“Orang ramai khususnya ibu bapa dan keluarga dijemput membawa anak-anak menyertai festival berkenaan serta meneroka pelbagai ruang dan aktiviti yang disediakan.
“Kemasukan ke SCALF 2026 adalah percuma dan terbuka kepada semua,” tambah kenyataan itu.
Maklumat lanjut mengenai pengisian dan aktiviti festival akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi Facebook rasmi dan laman web Pustaka Negeri Sarawak.


