KUCHING: Lebih 400 peserta menyertai acara jalan kaki sejauh tiga kilometer anjuran Persatuan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS) di Tebingan Sungai Kuching semalam, sekali gus berjaya mengumpulkan lebih RM30,000 untuk membantu kanak-kanak dan keluarga yang berdepan kanser.
Program bermula 7 malam itu dianjurkan sebagai sebahagian kempen tahunan Terangi Dengan Warna Emas SCCS sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak setiap September.
Peserta melalui laluan dari Square Tower ke Jambatan Darul Hana, Pangkalan Sapi dan Jalan Astanam.
Acara julung kali dianjurkan SCCS itu sebelum ini ditangguhkan daripada jadual asal pada September lalu berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk ketika itu.
Presiden SCCS, Mary Kiu, berkata program berkenaan bukan sekadar bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak, malah menjadi wadah masyarakat menunjukkan sokongan kepada pesakit serta keluarga mereka.
“Semangat kesedaran dan sifat prihatin terhadap kanak-kanak yang menghidap kanser perlu diteruskan walaupun program berkenaan sudah berakhir, termasuk melalui sumbangan, kerja sukarela dan perkongsian maklumat,” katanya.
Turut menjadi tarikan ialah Jambatan Darul Hana yang diterangi cahaya bersama mesej ‘Cahaya Emas untuk Kesedaran Kanser Kanak-kanak’, melambangkan sokongan masyarakat terhadap perjuangan kanak-kanak yang berdepan penyakit berkenaan.
Program itu turut dihadiri Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, selain mendapat sokongan City Joggers Club, DBKU, GaoGao Group, Tea FM dan St John Ambulance Sarawak, manakala GoBeyond bertindak sebagai penaja acara.





