ARTIKEL

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah (dua kiri) dan Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim (hujung kiri) pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Bil.3/2026 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

SDCC Sarawak dinaik taraf perkukuh keupayaan pengurusan bencana

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) Sarawak yang dinaik taraf akan memperkukuh keupayaan pengurusan bencana di negeri ini, khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat yang pantas, tepat dan bersepadu.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pusat berkenaan dilengkapi teknologi terkini hasil peruntukan RM750,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini membolehkan penyampaian maklumat lebih pantas, tepat dan bersepadu dalam menghadapi sebarang bencana,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Bil.3/2026 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata keluasan geografi Sarawak menuntut penyelarasan maklumat yang sahih bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara berkesan di semua peringkat.

Katanya, cabaran penyebaran maklumat tidak tepat juga semakin ketara ketika ini susulan penggunaan telefon pintar dan media sosial, terutama ketika berlakunya bencana seperti banjir serta dalam keadaan cuaca panas dan kering.

“Penting untuk kita memastikan semua maklumat yang disampaikan adalah sahih dan datang daripada sumber yang boleh dipercayai,” katanya lagi.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, dengan siapnya naik taraf SDCC, pengurusan bencana di Sarawak diyakini akan menjadi lebih cekap dan tersusun.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada NADMA atas peruntukan yang disalurkan bagi menaik taraf kemudahan berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU