ARTIKEL

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki merasmikan Program Automasi Digital Melalui Kemajuan Teknologi (D.A.T.A.) sempena Minggu Kerajaan Digital Sarawak 2026. Foto UKAS

SDGF pacu transformasi digital Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kini memasuki fasa baharu transformasi digital sektor awam dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus data sebagai asas utama bagi memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, tumpuan kerajaan kini bukan lagi sekadar membangunkan sistem digital, malah memastikan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, jika sedekad lalu fokus diberikan kepada pendigitalan proses kerja dan peluasan perkhidmatan dalam talian, kini Sarawak melangkah ke fasa yang lebih strategik dengan memperkukuh tadbir urus data sebagai asas kepada penggunaan AI.

“Keutamaan kita hari ini bukan lagi sekadar membangunkan sistem, tetapi memastikan teknologi benar-benar meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Bayangkan satu hari nanti rakyat tidak lagi perlu beratur panjang di kaunter kerajaan, membawa fail yang tebal ke pejabat awam atau menunggu berbulan-bulan untuk sesuatu permohonan diluluskan. Sebaliknya, segala urusan dapat diselesaikan dengan lebih cepat, telus, selamat dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap sempena perasmian Program Automasi Digital Melalui Kemajuan Teknologi (D.A.T.A.) sempena Minggu Kerajaan Digital Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berucap pada Program Automasi Digital Melalui Kemajuan Teknologi (D.A.T.A.) sempena Minggu Kerajaan Digital Sarawak 2026. Foto UKAS

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Rangka Kerja Tadbir Urus Data Sarawak (SDGF) yang disifatkan sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh agenda transformasi digital negeri.

Abu Bakar berkata, SDGF menyediakan prinsip, piawaian dan mekanisme tadbir urus yang jelas bagi memastikan data Kerajaan Sarawak diurus secara lebih sistematik, selamat, berkualiti dan berintegriti.

Katanya, rangka kerja itu juga akan memperkukuh dasar pemilikan data, perkongsian data serta akauntabiliti kementerian dan agensi dalam mengurus data sebagai aset strategik kerajaan.

“Lebih penting lagi, SDGF akan menjadi landasan kepada agensi kerajaan untuk membuat keputusan berdasarkan data dan bukannya andaian,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menjadikan data sebagai aset strategik bergantung kepada komitmen semua kementerian dan agensi untuk memperkukuh kerjasama merentas sektor, meningkatkan kualiti data serta membudayakan perkongsian data secara bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah bagi membangunkan asas fizikal dan digital termasuk pusat data, hab keterhubungan, platform pengkomputeran awan serta keupayaan pengkomputeran berprestasi tinggi, termasuk pembangunan Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang.

Menurutnya, pelaburan tersebut membuktikan bahawa Sarawak bukan sekadar memperkatakan mengenai transformasi digital, malah sedang membinanya secara berperingkat.

Beliau turut menegaskan bahawa AI hanya akan berfungsi dengan berkesan sekiranya disokong oleh data yang berkualiti, tepat dan boleh dipercayai.

“Jika data lemah, lapuk atau tidak lengkap, maka hasil yang dijana AI juga akan menjadi lemah. Sebab itu tadbir urus data bukan sekadar keperluan teknikal, tetapi tanggungjawab sektor awam dan disiplin institusi.

“Jika data tidak diurus dengan baik dari peringkat awal, tiada teknologi, sistem atau AI yang mampu membetulkannya kemudian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua kementerian dan agensi kerajaan negeri memberikan komitmen penuh terhadap pelaksanaan SDGF bagi memastikan Sarawak terus membangunkan sebuah kerajaan yang dipacu data, bersedia memanfaatkan AI dan berorientasikan masa depan.

Beliau berkata, SDGF bersama Pelan Tindakan AI Sarawak yang sedang dibangunkan akan menjadi asas kepada penggunaan AI secara bertanggungjawab, di samping memastikan pelaksanaannya menghormati kedaulatan digital serta memenuhi keperluan pembangunan negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU