PENYANYI rap Jamaica, Sean Kingston, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Persekutuan di Florida atas pembabitannya dalam skim penipuan bernilai ASD1 juta.
Hakim David Leibowitz menolak rayuan peguam Kingston untuk menangguhkan tarikh penyerahan diri atas alasan kesihatan, sebaliknya memerintahkan beliau dibawa terus ke penjara selepas prosiding pada Jumaat.
Kingston, 35, atau nama sebenarnya Kisean Paul Anderson, kelihatan tenang sebelum menanggalkan jaket hitamnya untuk digari dan diiring keluar dari mahkamah.
Pada Mac lalu, Kingston dan ibunya, Janice Eleanor Turner, 63, didapati bersalah atas empat pertuduhan penipuan wayar dan satu pertuduhan konspirasi melakukan penipuan wayar.
Turner dijatuhi hukuman penjara lima tahun bulan lalu, jauh lebih rendah daripada maksimum 20 tahun yang dihadapi mereka berdua.
Kingston sebelum ini ditahan pada Mei 2024 di California selepas kediamannya di Fort Lauderdale diserbu pasukan SWAT.
Ibunya turut ditahan dalam serbuan sama.
Sebaik disabitkan kesalahan, Kingston sempat menangis dan merayu agar ibunya dilindungi pihak berkuasa.
Namun, hanya beliau dibenarkan menunggu hukuman di rumah manakala ibunya dianggap berisiko melarikan diri dan terus ditahan.
Penyanyi lagu Beautiful Girls itu pernah memberi kenyataan di Instagram selepas penahanannya: “Orang suka perkara negatif! Saya dan ibu dalam keadaan baik. Peguam saya sedang menguruskan semuanya.”



