KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) memperkenalkan inisiatif “Adopt a Tree” sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian menjelang penganjuran Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF) 4.0, yang bakal berlangsung pada 3 hingga 4 September di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Dilancarkan secara rasmi pada 10 Julai lalu di Pusat Lindungan Hidupan Liar Samunsam dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), inisiatif itu memberi penekanan kepada pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan habitat semula jadi di Sarawak.
Menurut kenyataan rasmi Sarawak Energy, “Adopt a Tree” merupakan salah satu komponen penting yang menterjemahkan semangat forum kepada tindakan nyata yang memberi impak langsung kepada alam sekitar.
“Sebagai platform penting dalam memacu kerjasama serantau dan global ke arah pembangunan mampan, SAREF bukan sahaja membincang dasar, malah menggerakkan tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran
“Menerusi inisiatif tersebut, setiap delegasi berdaftar SAREF 4.0 akan menerima sijil elektronik – mewakili satu pokok yang diangkat dan ditanam di kawasan suaka tersebut,” kata kenyataan itu.
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Siti Aisah Adenan berkata, penyertaan delegasi dalam program ini meluaskan impak forum secara kolektif.
Beliau turut menekankan bahawa Sarawak Energy, sebagai peneraju korporat dalam bidang kelestarian, mempunyai tanggungjawab untuk melindungi alam sekitar dan khazanah semula jadi negeri ini.
Pogram penanaman pokok itu menyaksikan penglibatan seramai 60 kakitangan Sarawak Energy dan 30 kakitangan SFC, dengan jumlah 600 pokok spesies Nyatoh Ketiau berjaya ditanam di tapak pemulihan tersebut.
“Sehingga Jun 2025, Sarawak Energy telah menanam dan melindungi hampir 200,000 pokok di seluruh Sarawak menerusi Kempen Penanaman, Perlindungan Pokok dan Pemulihan Habitat 2021–2030.
“Bagi tahun ini, syarikat menyasarkan penanaman 50,000 pokok dengan matlamat keseluruhan sebanyak 500,000 pokok menjelang 2030,” jelas kenyataan.
Ujar kenyataan, Inisiatif ini juga menyokong komitmen Sarawak Energy terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), khususnya Matlamat 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan Matlamat 15 (Kehidupan di Daratan).
“Kempen Greening Sarawak telah mencapai matlamat awal menanam 35 juta pokok lebih awal daripada sasaran 2025.
“Sarawak Energy tetap meneruskan peranan aktif dalam menyokong agenda nasional Penghijauan Malaysia yang menyasarkan 100 juta pokok ditanam dan dilindungi menjelang 2025,” ujar kenyataan.



