KUCHING: Sebahagian besar tuntutan Sarawak berkenaan isu pendidikan dan kesihatan telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak hari ini.
Tuntutan berkenaan dipersetujui menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 kali kedua bagi tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.
Fadillah dalam kenyataan memaklumkan bahawa menerusi isu pendidikan, antara perkara yang telah dipersetujui adalah mengenai penglibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan.
“Selain itu, turut dipersetujui adalah perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan dan penyaluran peruntukan untuk program pembangunan profesional.
“Bagi perkara yang tidak dipersetujui, ia akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi isu kesihatan pula, beliau menjelaskan tuntutan Kerajaan Sabah dan Sarawak yang telah dipersetujui adalah peningkatan kepada peruntukan belanja mengurus dan belanja pembangunan.
“Seterusnya kuasa autonomi kepada Pengarah Kesihatan Negeri dalam beberapa perkara dan pengukuhan sumber manusia di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak.
“Bagi perkara yang tidak dipersetujui, ia akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memaklumkan bahawa tuntutan-tuntutan lain yang masih belum selesai akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 dan jawatankuasa kerja berkaitan di bawah kementerian-kementerian yang berkaitan.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh wakil daripada Kerajaan Persekutuan, wakil daripada Kerajaan Negeri Sabah dan wakil daripada Kerajaan Negeri Sarawak termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan- Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Jelas Fadillah, mesyuarat yang diadakan hari ini penting bagi persiapan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025.
Mesyuarat berkenaan dijangka akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching pada 12 September 2025 nanti.



