KUCHING: Sebanyak 26,000 kenderaan di Sarawak mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat ini, daripada 37,880 kenderaan yang layak menikmati subsidi berkenaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, jumlah itu menunjukkan masih terdapat lebih 11,000 kenderaan belum mendaftar.

“Pemilik kenderaan yang layak, khususnya syarikat, disaran segera membuat permohonan sama ada di pejabat KPDN atau secara dalam talian menerusi portal MySubsidi.
“Oleh itu, kita menjemput semua pemilik kenderaan dan syarikat yang layak untuk datang ke KPDN atau memohon secara dalam talian serta menyemak kelayakan masing-masing supaya dapat menikmati subsidi diesel yang disediakan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penerangan mengenai pelaksanaan SKDS dan BUDI MADANI di Stesen Minyak Shell PJSS Enterprise, Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abang Abdul Rahman Yaakub di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Felicia Tan, Pegawai Kewangan Persekutuan Leonard Wilfred Yussin serta tetamu kehormat lain.
Tambah Matthew, pelaksanaan SKDS dan BUDI MADANI yang bermula 1 Julai lalu berjalan lancar dengan hanya beberapa kekeliruan kecil berjaya ditangani melalui sesi penerangan kepada pelbagai pihak.
Katanya, KPDN Sarawak turut mengadakan taklimat kepada Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan turut memperluaskan kelayakan SKDS kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap, menjadikan jumlah kategori kenderaan yang layak meningkat daripada 23 kategori sebelum ini.
Langkah itu jelasnya bertujuan memastikan lebih ramai pemilik kenderaan yang memenuhi syarat dapat menikmati subsidi diesel selaras dengan pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar kerajaan.
“Pemilik kenderaan yang layak digalakkan membuat semakan dan mengemukakan permohonan secepat mungkin bagi mengelakkan mereka tercicir daripada menikmati manfaat subsidi diesel,” katanya.



