KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Negeri Sarawak akan terus bekerjasama dengan pemegang taruh dalam mendokumentasikan bahasa sukuan di Sarawak untuk didaftarkan dalam sistem pangkalan data bahasa.
Pengarah DBP Sarawak Abang Haliman Abang Julai berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi mengelak bahasa etnik di negeri itu pupus.

Beliau mendedahkan setakat ini terdapat empat bahasa sukuan di Sarawak telah pupus membabitkan bahasa Lelak, Seru, Pegu dan Liut.
“Sayang sekali bahasa ini telah pupus, jadi kita tidak mahu bahasa sukuan ini hilang begitu sahaja kerana Sarawak mempunyai lebih 30 suku kaum.

“Supaya semua bahasa etnik ini dapat kita rakam, sebagai pemakluman dan pemahaman generasi akan datang di samping mengetengahkan bahasa sukuan ini menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Bengkel Kerja Pangkalan Data Umum Bahasa Sukuan Sarawak (PDUBSS) di Hotel Penview di sini pada Ahad.

Menyedari proses itu mengambil masa yang agak lama, namun beliau yakin ia akan membuahkan hasil walaupun dijalankan secara berperingkat.
Ia termasuk memperhalusi makna setiap kata yang didokumentasikan, turut melibatkan perbincangan bagi mencari kata akhir sebelum dihantar ke DBP untuk rekod.



