Sebuah syarikat di Mukah dikompaun RM2000 gara-gara gagal pamer tanda harga

MUKAH: Sebuah syarikat perniagaan dikompaun RM2000.00 gara-gara kerana gagal mempamerkan tanda harga jualan hasil pemeriksaan yang dibuat oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah Isnin lalu.

Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah Salihin Den,

“Pasukan Penguatkuasa KPDNHEP Mukah telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kantin ladang sawit di Balingian, Mukah kerana berdasarkan aduan premis berkenaan gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan kita mendapati masih ada peniaga yang degil dengan tidak meletak tanda harga pada barangan yang dipamer untuk jualan,”katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya lagi nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM3,000.00 dan tindakan kes diambil di bawah Peraturan 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu gagal mempamerkan tag, label dan tanda harga pada barangan jualan bagi tujuan perdagangan.

“Premis perniagaan itu juga telah ditawarkan kompaun ‘on the spot’ sebanyak RM2,000.00 pada hari yang sama dan bersetuju untuk membayar kompaun tersebut,” katanya.

Ujarnya lagi sekiranya suspek didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

“Bagi Syarikat atau Pertubuhan Perbadanan mereka boleh didenda sehingga RM500,000.00 atau dikompaun sehingga RM250,000.00”, tegasnya.

Difahamkan sehingga 10 Mei lalu Pejabat KPDNHEP Mukah telah menjalankan pemeriksaan ke 1379 buah premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar, telah menghasilkan kes sebanyak 48 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM60,818.29 dan jumlah kompaun sebanyak RM21,650.00.

“Pihak kita ingin menegaskan bahawa pihaknya amat serius dan tidak akan berkompromi di dalam menjaga kepentingan pengguna terutamanya pada ketika negara dilanda pendemik Covid 19 ini.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas pengguna di dalam situasi sukar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan ini,” jelasnya lagi.