SEDEKAH semasa PKP

KETIKA pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching bermula Isnin lalu, penulis sempat meninjau beberapa lokasi sekatan jalan raya oleh polis dan Angkatan Tentera Malaysia.

Kebetulan lokasi itu berdekatan bulatan dan lampu isyarat, memudahkan lagi tinjauan penulis.

Pasukan barisan hadapan Covid-19 ini berkawal siang dan malam. Tidak kira hujan atau panas.

Mereka hanya berlindung di sebuah khemah jika hujan. Di situ mereka makan, minum dan berehat sebentar untuk memulihkan semula tenaga.

Kemudian meneruskan tugasan memantau pergerakan kenderaan orang awam.

Dalam tinjauan itu, saya tertarik dengan sikap orang kita yang memberhentikan kenderaan dan kemudian memberikan minuman.

Ada juga yang memberikan makanan kepada mereka.

Bukan di satu lokasi, tetapi di banyak lokasi perkara ini berlaku.

Salah seorang orang awam yang memberikan makanan itu penulis kenali.

Sudah beberapa kali penulis melihat dia menyerahkan makanan kepada anggota yang bertugas.

Ditanya sebab dia memberikan makanan jawabnya, “ini sekadar sedekah. Mereka (anggota polis dan tentera) mengawal pergerakan rentas daerah.

Jadi, saya bantu mereka dengan memberikan sedikit makanan dan minuman.”

Hantar Bantuan Makanan

Begitu juga dengan penyedia penghantaran makanan – GrabFood.

Dalam video yang tukar di Facebook, beberapa penunggang motosikal GrabFood bergerak berkumpulan dan berhenti di lokasi sekatan jalan raya oleh polis.

Masing-masing membuka kotak simpanan makanan dan menyerahkan makanan kepada anggota polis yang bertugas.

Kehadiran mereka diterima baik anggota polis. Sambil menerima makanan dan mengucapkan terima kasih, anggota polis itu sempat menasihat penghantar makanan berhati-hati di jalan raya.

Jangan menunggang laju bagi mengelak kemalangan.

Yang penting untuk memastikan makanan itu sampai kepada pelanggan.

Selain itu, polis itu turut menasihati agar berhati-hati menerima barang pesanan bagi memastikan barang itu tidak menyalahi undang-undang.

Pastikan barang yang dihantar adalah makanan. Ini kerana pernah berlaku di ibu kota, “seseorang” pernah menghantar bungkusan yang dianggapnya biasa, tetapi rupa-rupanya benda yang menyalahi undang-undang.

Dia mengampil upah menghantar barangan selepas waktu bekerja.

Kebetulan ketika itu dia menerima tempahan menghantar barang ke Port Dickson.

Tanpa berfikir panjang dia bergegas ke lokasi pengirim dan terus menghantar barangan tersebut.

Langsung tidak memikirkan jenis barang yang dihantar.

Setelah berjaya menerima penerima dan menerima upah, dia terus balik ke ibu negara.

Alangkah terkejutnya dia apabila diberitahu oleh rakannya yang barang yang dihantarnya sejenis dadah.

Dia tergamam dan tidak menjangkakan barang itu sejenis dadah.

Dia bernasib baik kerana tidak melalui kawasan yang ketika itu ada sekatan jalan.

Jika tidak, akan ditangkap dan menerima hukuman.

Maka akan digelar keldai dadah.

Kongsi Rezeki

Berbalik kepada amalan sedekah tadi, inilah orang kita. Sanggup berkongsi rezeki kepada sesiapa sahaja walaupun yang tinggal hanya cukup-cukup untuk keluarga.

Lebih-lebih lagi ketika PKP dikuat kuasa dahulu. Begitu ramai keluar rumah untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Bayangkan tiga bulan dalam tempoh PKP, ada yang hilang kerja, kehabisan makanan dan wang simpanan.

Mereka ini harus dibantu sesuai dengan kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin – pastikan ada makanan di atas meja.

Diharapkan amalan sedemikian tidak hanya pada PKP, sebaliknya diteruskan pada setiap masa lebih-lebih pascapandemik Covid-19.

Masih ramai yang terjejas dan begitu memerlukan bantuan segera.

Mungkin langkah wajar diambil ialah ruang untuk bekerja.

Diharap syarikat swasta atau syarikat biasa bersedia mengambil mereka untuk bekerja.

Selain mendapat gaji harian atau bulanan, mereka dapat mengelak kebergantungan kepada ihsan orang lain dalam pemberian makanan.

Selain itu, ada juga yang membuka gerai kecil-kecilan di bahu-bahu jalan.

Ini jalan mudah mendapatkan wang setelah tiada pekerjaan. Sokong perniagaan mereka ini dengan membeli barangan jualan mereka.

Bukan dipandang hina.

Pihak berkuasa tempatan juga mungkin boleh membantu dalam hal ini.

Bukan dihalau begitu sahaja. Berikan pilihan lain bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup setelah hilang pekerjaan tetap.

Akhirnya semua pihak menjadi petugas barisan hadapan ketika menghadapi Covid-19 atau pasca-Covid-19.

Sama-sama kita merebut saham akhirat.

Suara Sarawak