Sediakan pakej rangsangan khas bantu peniaga kecil

MIRI: Peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) amat berharap pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini memberi tumpuan dalam pemulihan ekonomi secara menyeluruh.

Pengarah Urusan IANA Corporation Sdn Bhd Mohammad Hafidz Rohani berkata, ia termasuk menyediakan pakej rangsangan khas membantu PKS yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kami amat berharap jika moratorium bagi pembiayaan usahawan dilanjutkan sehingga pertengahan tahun hadapan. “Bantuan lain yang dijanjikan juga hendaklah dipermudahkan seperti bantuan Program Subsidi Upah Tambahan, Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Pembiayaan Mudah Bumiputera (BRF),” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Mohammad Hafidz berharap kerajaan menggalakkan pembelian domestik, eksport dan meminimumkan import barangan luar untuk menggalakkan pembelian dalam negara.

“Kita lihat contoh sejak rakyat negara jiran tidak dapat berbelanja di negara kita, saya mendapat maklum balas ekonomi tempatan mereka bergerak dengan baik,” jelasnya.

Malah, kerajaan perlu menggalakkan aktiviti eksport PKS tempatan untuk menembusi pasaran luar negara. “Kesedaran mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan faedahnya dalam kalangan usahawan sektor PKS masih rendah.

“Namun ada dalam kalangan PKS sudah mengeksport produk ke luar negara dan berharap kerajaan mempermudahkan urusan dan membantu mereka yang kurang faham akan FTA,” tegasnya.

Pada masa, semua pihak termasuk ahli politik mengetepikan agenda politik masing-masing sebaliknya fokus dan menyokong usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19.

“Pertukaran kerajaan akan menyebabkan pertukaran polisi seterusnya menghentikan segala bantuan yang dijanjikan sebelum ini hingga memberi kesan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau mengakui banyak peniaga sudah gulung tikar, mengurangkan perbelanjaan dan membuang pekerja demi kelangsungan perniagaan.

“Kita amat berharap dalam Belanjawan 2021 ini nasib PKS yang terkesan dengan pandemik Covid19 diberikan perhatian dan bantuan sewajarnya,” ujarnya.

Suara Sarawak